Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ng Choon Koon tanding Bebas bukan kerana dendam

PRN MELAKA | Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Ng Choon Koon tekad kembali bertanding atas tiket Bebas bagi kawasan itu demi meneruskan usaha membantu masyarakat ketika pernah menjadil wakil rakyat selama sepenggal di situ.

Bekas peguam berusia 46 tahun itu berkata beliau nekad mempertaruhkan nasibnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini bagi memenuhi kehendak rakyat di situ yang mahukannya kembali berkhidmat namun tidak pernah terlintas difikirannya untuk kembali kerana mahu membalas dendam pada mana-mana pihak.

"Saya sudah terbiasa dan tetap meneruskan kerja-kerja menyantuni rakyat, mengambil tahu hal kebajikan dan permasalahan dihadapi mereka walaupun tidak lagi bergelar ADUN di kawasan ini.

"Apa yang penting ketika ini, fokus saya adalah menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda kawasan ini, mahu membangunkan hab pendidikan, memastikan masalah capaian Internet diselesaikan dan merealisasikan perancangan pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik," katanya di Jasin hari ini.

Sebagai anak tempatan di DUN tersebut Ng mahu memberi tumpuan tujuh perkara utama demi kemakmuran dan keharmonian rakyat Bemban di samping hasratnya yang kembali bertanding di situ kerana masih mahu menabur jasa dan bakti selain berharap mendapat kepercayaan daripada pengundi.

Ng sebelum ini yang mewakili Barisan Nasional (BN) pernah diberikan mandat menjadi ADUN Bemban pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kemudian diletakkan sebagai calon DUN Kesidang pada PRU Ke-14 namun tewas.

PRN Melaka kali ini menyaksikan Ng berdepan pertandingan lima penjuru iaitu calon Perikatan Nasional (PN) Dr Yadzil Yaakub, calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Tey Kok Kiew, calon BN Datuk Koh Chin Han dan Azmi Kamis (Bebas).

Pada PRU Ke-14 DUN Bemban dimenangi Datuk Dr Wong Fort Pin (DAP) dengan majoriti 1,345 undi.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS