Proses pengundian awal di beberapa Pusat Pengundian Awal (PPA) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula pukul 8 pagi tadi berjalan lancar.
Tinjauan Bernama mendapati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan dua saluran PPA di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ayer Keroh selain khemah khas tempat mengundi untuk pengundi yang mempunyai gejala COVID-19.
Menurut SPR, setakat 11 pagi ini peratusan yang keluar mengundi mencecah 39 peratus.
Pengundi yang hadir diminta mengimbas suhu dan kod QR MySejahtera serta perlu menggunakan cecair pembasmi kuman sekerap mungkin selain sentiasa diingatkan menjaga penjarakan fizikal.
Di IPK Melaka, seramai 739 pegawai dan anggota berdaftar sebagai pengundi awal dengan empat slot waktu mengundi ditetapkan iaitu pukul 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 petang hingga 4.30 petang.
Hadir meninjau pusat pengundian awal itu ialah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass dan Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.
Turut kelihatan di PPA itu ialah calon Perikanan Nasional (PN) Datuk Seri Micheal Gan Peng Lam.
Sementara itu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh tiba di IPK Melaka sekitar pukul 9.35 pagi dengan diiringi Zaini dan Abdul Majid.
Abdul Ghani menghabiskan masa kira-kira 20 minit melawat PPA tersebut dan sempat bertanya beberapa soalan kepada pegawai SPR dan anggota polis yang bertugas.
Terdahulu beliau turut diberikan sedikit taklimat oleh Abdul Majid sebelum bergerak memasuki kaunter saringan kesihatan dan masuk ke dalam Dewan Serbaguna yang sedang berlangsungnya proses pengundian awal.
Dalam pada itu, setakat 9.30 pagi, tiada pengundi bergejala dikesan namun dua pegawai Kementerian Kesihatan yang lengkap memakai peralatan pelindungan diri (PPE) didapati sentiasa bersedia di PPA tersebut.
Sementara itu, tinjauan di PPA Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2 menyaksikan Panglima 3 Divisyen Infantri Mej Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim mengundi di pusat berkenaan, pagi tadi.
Calon Barisan Nasional DUN Sungai Udang Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad juga mengambil kesempatan melawat PPA berkenaan pada pukul 10.15 pagi.
- Bernama