Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia dapat gred 'D' bagi indeks integriti pertahanan TI
Diterbitkan:  Nov 16, 2021 11:20 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

Malaysia memperoleh gred "D" bagi indeks integriti pertahanan kerajaan (GDI) Transparency International (TI) bagi tahun 2020, yang meneliti usaha membendung rasuah dalam institusi pertahanan dan keselamatan di 77 negara.

Menurut TI Malaysia, kajian itu mendapati Malaysia memiliki pengawasan perundangan yang lemah ke atas bajet, persaingan pembidaan yang rendah untuk pemerolehan, tiada ombudsman bebas dan kekurangan ketelusan data.

Dalam satu kenyataan, TI-M berkata sektor pertahanan Malaysia merupakan aktiviti kerajaan yang kabur di mana bajet pertahanan yang dikeluarkan bersifat umum berbanding perincian perbelanjaan yang menyeluruh.

“Kami menggesa kerajaan melihat secara serius risiko rasuah yang tinggi dalam sektor pertahanan dan mengambil langkah mitigasi," kata presiden TI-M, Muhammad Mohan.

Muhammad berkata kerajaan perlu mendedahkan perolehan kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ships) dan helikopter McDonnell MD503G yang telah lama tertangguh.

“Ketelusan dan akauntabiliti dalam kedua-dua kes ini akan menunjukkan kerajaan serius terhadap tadbir urus yang baik dalam sektor pertahanan,” katanya.

Gred "D" meletakkan Malaysia sebaris dengan Albania, Argentina, Armenia, Botswana, Chile, Greece, Hungary, Indonesia, Kenya, Kosovo, Portugal, Rusia, Serbia, Tunisia, Uganda dan Ukraine.

Gred "D" juga menunjukkan negara ini berada pada risiko "tinggi" rasuah dalam sektor pertahanan dan keselamatan.

Malaysia berada di belakang jiran serantau seperti Filipina dan Singapura yang diberi gred "C" (risiko sederhana rasuah) manakala Taiwan adalah satu-satunya negara Asia Pasifik yang menerima gred "B" (risiko rendah).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS