Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayuan Lim untuk pindah kes rasuah ke mahkamah tinggi ditolak

Perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ini selepas tiga hakim Mahkamah Rayuan pagi ini sebulat suara menolak rayuan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur .

Lim mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai, yang menolak permohonannya untuk memindahkan kes rasuah itu ke mahkamah tinggi, sebelum mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Peguam ahli parlimen Bagan itu, Haijan Omar mengesahkan keputusan sebulat suara oleh panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh hakim Nor Bee Ariffin. Hakim lain terdiri daripada Che Mohd Ruzima Ghazali dan Hashim Hamzah.

"Rayuan itu ditolak," kata Haijan ketika dihubungi.

Peguam itu berkata dia sedang menunggu arahan daripada Lim sama ada untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.

Lim memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi supaya sekiranya terdapat rayuan, ia boleh dibawa sehingga ke Mahkamah Persekutuan, di mana mahkamah tertinggi itu akan menjadi tempat paling sesuai untuk memutuskan isu undang-undang tertentu yang berkaitan dengan kes itu.

Di bawah sistem mahkamah, kes jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen hanya boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Rayuan manakala rayuan untuk kes jenayah yang didengar di Mahkamah Tinggi boleh dirayu ke Mahkamah Persekutuan.

Lim mendakwa Mahkamah Tinggi adalah tempat yang sesuai untuk membicarakan kes rasuah itu kerana ia melibatkan beberapa isu undang-undang dan sekiranya rayuan dibuat, ia boleh didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Antaranya ialah isu sama ada tertuduh perlu mendedahkan pernyataan pembelaannya kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan dimulakan, dan sama ada kenyataan saksi pendakwaan boleh dikongsi dengan pihak pembelaan sebelum perbicaraan.

Isu kenyataan saksi itu adalah berhubung saksi pendakwaan Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang merupakan pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, kontraktor utama projek terowong dasar laut itu.

Pihak pendakwaan, yang diketuai oleh Wan Shaharuddin berhujah bahawa permohonan memindahkan kes itu menyalahgunakan proses mahkamah.

Mereka berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan telah pun memutuskan isu yang berkaitan dengan kes Lim.

Lim berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuaal Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Dia juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di mahkamah sesyen akan disambung semula pada 29 Nov.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS