Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes palsu dokumen: Keputusan jika Peter Anthony perlu bela diri 14 Dis
Diterbitkan:  Nov 15, 2021 11:24 PM
Dikemaskini: 3:24 PM

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 14 Dis depan untuk memutuskan sama ada bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan menggunakan dokumen palsu.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin, yang mewakili Peter, di akhir kes pendakwaan.

Peter, 50, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Dia juga berdepan pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu di tempat dan masa yang sama.

Terdahulu, Wan Shaharuddin berhujah Peter memalsukan dokumen itu kerana dia yang menaip tajuk pada surat tersebut berdasarkan keterangan saksi ketiga iaitu Mohd Shukur Mohd Din bahawa beliau meninggalkan bahagian kepala draf surat sokongan dalam keadaan kosong dalam komputer di pejabat tertuduh namun mendapati keesokannya ia telah diisi dengan tarikh, tajuk dan kandungan.

“Peter sebagai pemilik Syarikat Asli Jati telah cuba menggunakan kabel Datuk Seri Najib Tun Razak untuk ‘hijack’ projek itu yang mana tertuduh tahu projek berkenaan dibuat secara tender terbuka,” katanya sambil menambah ini merupakan satu taktik kotor yang menyaksikan tertuduh memperdaya Najib yang ketika itu merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Beliau berkata tertuduh juga tidak pernah memaklumkan Najib bahawa projek itu telah dianugerah kepada syarikat REMT Utama Sdn Bhd untuk kerja operasi dan penyelenggaraan sistem M&E di UMS dan ini bukan kali pertama Peter menggunakan pengaruhnya bagi mendapatkan sesuatu projek.

Munawar Kabir pula berhujah tiada bukti menunjukkan Peter telah melakukan kesalahan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Beliau berkata draf surat sokongan yang didakwa disediakan di pejabat Peter tidak dapat dibuktikan kesahihannya kerana pendakwaan tidak mengemukakan keterangan analisis forensik bagi mengaitkan tertuduh dengan pertuduhan.

Katanya pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa komputer yang kononnya digunakan untuk menyediakan draf surat sokongan itu adalah milik Peter kerana ia tidak dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Munawar Kabir, yang memaklumkan mahkamah bahawa pembelaan akan memanggil lapan saksi jika Peter diperintah membela diri, berkata Mohd Shukur berbohong apabila menyatakan draf surat sokongan disediakan di pejabat tertuduh sebaliknya ia disediakan oleh saksi itu sendiri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS