PARLIMEN | Menteri Pendidikan berkata, pertemuannya dengan sebuah kolej vokasional berhubung dakwaan "pemeriksaan haid" mendapati amalan itu dilakukan oleh pelajar sendiri.
Penjelasan Radzi Jidin itu hadir setelah Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan menghantar pekeliling kepada semua ketua jabatan pendidikan negeri pada 2 November lalu untuk menekankan bahawa amalan itu dilarang.
Radzi berkata, berdasarkan penjelasan yang diberikan pelajar, amalan pemeriksaan haid dianggap sebagai tradisi di kalangan pelajar senior dan telah dilaksanakan sejak sekian lama.
Nasihat telah diberi kepada pelajar yang terlibat bahawa amalan itu harus dihentikan, kata Radzi ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Dia berkata demikian ketika mengulas Teo Nie Ching (PN-Kulai) yang menyuarakan penghargaan kepada KPM kerana mengeluarkan pekeliling tersebut dan bertanya apakah tindakan lain yang diambil.
Dia berkata, pihaknya memutuskan untuk tidak mendedahkan pekeliling itu kepada orang awam kerana mahu mengurangkan tekanan yang dihadapi pelajar terlibat.
Selain pendekatan nasihat kepada pelajar, Radzi berkata pekeliling bertarikh 2 November kepada semua ketua jabatan pendidikan negeri juga adalah satu "peringatan".
"Apabila satu pengesahan yang ia memang berlaku, kita keluarkan surat supaya perkara ini mestilah diberhentikan sepenuhnya di mana-mana institusi di bawah KPM," katanya lagi.
Teo kemudian bertanya jika ada pihak yang memberi arahan kepada pelajar untuk membuat pemeriksaan itu kepada pelajar lain.
Radzi berkata pelajar sendiri yang berkata ia adalah "tradisi" daripada kepimpinan pelajar untuk memastikan disiplin di sekolah.
"Sesetengah mereka menganggap ini satu tradisi yang dilaksanakan sekian lama dan ada di antara mereka yang tidak tahu pun perkara ini tidak patut dilaksanakan.
"Ini adalah penjelasan ikhlas daripada anak-anak tersebut," katanya lagi.
Bagaimanapun Radzi berkata KPM masih menyiasat jika ada guru yang terlibat secara langsung dalam amalan itu.
"Tindakan sewajarnya" akan dikenakan terhadap guru yang didapati terlibat, katanya lagi.
Radzi bersama-sama ketua pengarah dan ketua setiausaha KPM sebelum ini mengadakan kunjungan ke Kolej Vokasional ERT Setapak di Kuala Lumpur, susulan dakwaan berlaku pemeriksaan haid terhadap pelajar.