Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP cabar GPS, MCA dan MIC tegur PAS isu kedai nombor ekor
Diterbitkan:  Nov 15, 2021 3:24 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

DAP mencabar menteri kabinet MCA, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan MIC untuk menegur menteri PAS berhubung keputusan kerajaan Kedah mengharamkan kedai nombor ekor berlesen di Kedah pada mesyuarat kabinet hujung minggu ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata dasar PAS di Kedah adalah "ekstremis" kerana ia dilakukan tanpa berunding dengan pihak berkepentingan, mengabaikan kepelbagaian budaya dan tidak menghormati gaya hidup.

Lim berkata walaupun DAP bersetuju untuk melarang orang Islam daripada berjudi, sebahagiannya berpendapat bahawa pengharaman cawangan nombor ekor di Kedah hanya akan memburukkan rasuah polis dan menggalakkan sindiket pertaruhan haram.

"Adakah menteri-menteri ini berani menyatakan pendirian dan menuntut dalam mesyuarat kabinet minggu ini bahawa kabinet mengarahkan supaya larangan ini ditarik balik untuk membuktikan bahawa MCA, GPS dan MIC boleh berdiri teguh dengan pendirian mereka yang dapat menghentikan dasar ekstremis PAS?" soal Lim.

Semalam, Menteri Besar Kedah Mohammad Sanusi Md Nor, semasa membentangkan belanjawan negeri untuk 2022, berkata pentadbirannya tidak akan membenarkan kedai nombor ekor memperbaharui lesen mereka.

PAS pernah melaksanakan dasar yang sama di Kelantan dan Terengganu pada 1990-an. Larangan itu tidak ditarik balik di Terengganu oleh pentadbiran BN antara 2004 dan 2018.

Sejak PAS menyertai kerajaan Perak tahun lalu, Majlis Daerah Selama di Perak telah memutuskan untuk mengharamkan semua penjualan runcit minuman beralkohol.

Sementara itu, Lim berkata menteri GPS, MIC dan MCA juga mesti menegur rakan PAS mereka yang melancarkan serangan peribadi terhadap wartawan FMT Minderjeet Kaur.

Naib presiden PAS dan menteri hal ehwal agama Idris Ahmad, bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim, telah mengetepikan soalan mengenai percanggahan pendapat berhubung keputusan kerajaan Kedah untuk mengharamkan kedai nombor ekor.

Sebaliknya, Awang dikatakan mengkritik Minderjeet kerana bertanya soalan itu dalam bahasa Inggeris manakala Idris bertanya kepada wartawan sama ada dia bersetuju jika suaminya kaki judi.

Idris juga mendakwa bahawa semua orang bukan Islam menentang perjudian.

Lim berkata bahawa insiden itu adalah satu lagi contoh tingkah laku PAS yang membuli dan dasar ekstremis.

"Kedua-dua pemimpin itu sekali lagi menunjukkan wajah sebenar PAS sebagai pembuli minoriti dan wanita yang tidak berhati perut, yang tidak mempunyai tempat di bawah dasar ekstremis PAS," kata Lim.

Lim berikrar bahawa Ahli Parlimen DAP akan menuntut permohonan maaf secara terbuka sepenuhnya daripada Idris dan Awang melalui Parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS