Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRN MELAKA | PKR hari ini mendakwa mereka mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi N04 Lendu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, dan dengan itu menyingkirkan penyandangnya, ketua menteri Sulaiman Md Ali yang mewakili Umno.

Pengerusi PKR negeri Halim Bachik memberitahu sidang akhbar bahawa keyakinan itu berdasarkan penilaian mereka di lapangan baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat petunjuk positif mengenai peluang PKR di kerusi itu yang merupakan kerusi tradisi BN.

"Untuk Lendu, walaupun kawasan (yang sebelum ini disandang) ketua menteri, pada saya, apabila turun di lapangan kita banyak maklumat (yang cenderung kepada PKR).

"... pengundi di situ amat positif. Cuma ada kawasan yang ketat kita nak masuk, tapi apabila kita masuk dapat penerimaan baik," katanya.

Persaingan untuk kerusi DUN Lendu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Asri Ibrahim dari PKR, yang bertanding di bawah panji Pakatan Harapan, menentang Sulaiman dari Umno dan Abdullah Mahadi dari Perikatan Nasional (PN), yang merupakan mejar bersara Tentera Darat.

Asri Ibrahim

Halim berkata, Asri, 35, juga mempunyai prospek yang baik memandangkan dia masih muda dan pernah berkhidmat sebagai pegawai pemulihan di Agensi Antidadah Kebangsaan.

Calon itu, tambahnya, dilantik sebagai penyelaras PH bagi kawasan Lendu sejak tahun lepas apabila gabungan itu digulingkan dalam rampasan kuasa politik.

"Ada potensi untuk menang di Lendu kerana Sulaiman menang pada 2018 dengan majoriti tipis 627," tambahnya.

Dalam sidang media itu, Halim berkata PKR yakin mereka mampu menambah bilangan kerusi kepada tujuh berbanding tiga yang dimenangi PKR pada 2018 iaitu Machap Jaya, Rembia dan Kelebang.

Kerusi tambahan lain yang mereka sasarkan selain Lendu ialah Paya Rumput, Asahan dan Rim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS