Seorang pembantu kepada Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad menuduh wartawan cuba memburukkan PAS selepas menteri itu didesak untuk menjawab soalan berkaitan larangan judi di Kedah.
Ia susulan laporan Free Malaysia Today (FMT) yang menyiarkan artikel berhubung reaksi Idris dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim "berkonfrontasi" dengan wartawan media itu petang semalam.
FMT melaporkan Idris dengan tegas menyoal wartawan sama ada dia boleh bertolak ansur jika suaminya seorang kaki judi, manakala Awang mendesak wartawan supaya bertanya dalam Bahasa Malaysia.
Menerusi Facebook, Khairul Nadzir Helmi Azhar, yang juga ketua penerangan Pemuda PAS berkata, ketuanya dilontarkan dengan soalan 'provokasi' sebagai usaha untuk menjadikan parti Islam itu kelihatan buruk di mata masyarakat bukan Islam.
"Apa yang mengejutkan dia, bila Ustaz Idris tanya soalan yang terlalu sentap apabila dia terus mengasak seolah ‘memaksa’ yang akhirnya memberi imej buruk PAS kepada rakan bukan Islam.
"(Soalan Idris:) 'You setuju tak kalau suami you kaki judi?’" kata Nadzir.
"Wartawan tersebut seolah bengang sebab suaminya dijadikan contoh, sedangkan inilah hakikat sebenar yang judi telah merosakkan banyak institusi kekeluargaan," katanya lagi.
Dia berkata soalan provokasi yang diajukan oleh ketuanya itu adalah wajar kerana wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa apabila suami menjadi kaki judi.
"Ini...adalah gambaran bagaimana seorang pemimpin perlu selamatkan semua keluarga di Malaysia supaya menjauhi judi dengan takluk kuasa yang ada," katanya.
Nadzir mempersoalkan cara bosnya didekati wartawan ketika ketika menteri berkenaan bergegas untuk pulang, namun ia amalan biasa bagi pengamal media apabila mereka mempunyai soalan untuk diajukan pemimpin yang berkaitan.
"Tanpa perkenalkan diri, (dia) terus ‘menuduh’ adakah isu penutupan kedai judi dan arak akan menjejaskan hak bukan Islam di Malaysia.
FMT melaporkan bahawa wartawan itu pada mulanya mendekati Idris untuk mengulas keputusan kerajaan negeri Kedah, yang mendakwa semua pihak termasuk orang Islam dan bukan Islam, menentang judi.
Ketika ditanya soalan berkenaan, Idris berkata dasar pengharaman perjudian telah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu, sambil menambah ia diterima baik oleh bukan Islam di dua negeri Pantai Timur itu.
Wartawan itu kemudian bertanya tentang kemungkinan kebimbangan mengenai dasar sedemikian diperluaskan ke negeri lain, yang mana Awang menegur wartawan itu.
Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan lesen perniagaan kedai judi di negeri itu tidak akan diperbaharui oleh kerajaan tempatan.
‘Peranan media penting’
Sementara itu bekas ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff mengkritik sikap pemimpin PAS yang tidak menghormati tugas wartawan.
Katanya, menjadi tanggungjawab wartawan untuk bertanyakan soalan yang mempunyai kepentingan awam.
"Pihak kerajaan sepatutnya mengambil peluang tersebut untuk memberi penjelasan dan bukan melakukan intimidasi terhadap wartawan yang melakukan tugasan mereka.
"Peranan media di dalam sistem demokrasi adalah sama penting dan tidak keterlaluan saya katakan menjadi lebih penting di dalam sebuah negara yang semi autoritarian seperti Malaysia.
"Sikap yang ditunjukkan oleh menteri dan timbalan menteri tersebut menggambarkan sikap angkuh dan intimidasi terhadap media. Saya menggesa menteri dan timbalan Menteri berkenaan memohon maaf kepada wartawan berkenaan segera," kata Yusmadi dalam satu kenyataan.