Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Bos SPR kena berundur jika kurang separuh keluar mengundi’
Diterbitkan:  Nov 15, 2021 12:11 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh meletakkan jawatan jika kadar keluar mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka berada bawah 50 peratus.

Menurutnya, sekiranya perkara itu berlaku, SPR jelas gagal menjalankan tugas.

"SPR sepatutnya memastikan seramai mungkin pengundi keluar pada hari pembuangan undi pada 20 November nanti, namun badan itu melakukan hal yang sebaliknya.

"Saya menggesa pengerusi SPR untuk meletak jawatan jika kadar peratusan keluar mengundi pada 20 November ini berada pada tahap di bawah 50%," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, ahli parlimen Iskandar Puteri mendakwa SPR tersasar daripada skop tugasnya.

"Saya menyeru SPR supaya sedar akan tugasnya untuk menjalankan pilihan raya secara bebas, adil dan bersih dengan segera menarik balik larangan kempen fizikal dan membenarkan kempen secara fizikal dijalankan dengan pematuhan SOP ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

"SPR harus dilihat bekerja keras dalam memastikan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya negeri Melaka kali ini melebihi paras 70%," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS