Veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Bersatu akan terus menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri jika parti serpihan Umno itu kalah di semua kerusi DUN pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Pada sidang media yang diadakan pada hari kelima kempen pilihan raya, Lim bercakap mengenai tiga kemungkinan keputusan dalam PRN negeri itu.
"Pertama (kemungkinan) Bersatu akan kalah dalam semua kerusi oleh Umno. Jika ini berlaku, adakah Bersatu dan presidennya Muhyiddin Yassin akan menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri?
“Kedua, (jika BN menang) dan Najib Razak akan membuat kemunculan semula, ini menandakan kembalinya kleptokrasi.
"Ketiga, (jika) Pakatan Harapan (PH) akan mengembalikan mandat pilihan raya umum 2018, di mana kita akan mempunyai majoriti untuk mentadbir Melaka sebagai penyandang pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Kempen untuk pilihan raya Melaka bermula pada 8 Nov. Rakyat Melaka akan mengundi pada 20 Nov.
BN, PN dan PH saling bertembung di semua 28 kerusi.
Umno bertanding di 20 kerusi manakala MCA tujuh dan MIC satu kerusi.
Bersatu meletakkan calonnya di 15 kerusi, di mana 12 daripadanya menentang Umno. PAS yang bertanding di bawah tiket PN bertanding di lapan kerusi manakala baki lima kerusi DUN akan ditandingi calon daripada Gerakan.
Dalam perkembangan lain, Lim menyelar calon PN kerana "tanpa malu" mengagihkan minyak enjin kepada penunggang motosikal di Machap Jaya.
"Malaysia sedang menuju ke arah sistem 'bersih' dan sangat memalukan perkara ini berlaku.
“Saya harap rakyat Melaka tahu kepentingan hari mengundi pada 20 Nov di mana mereka akan membuang undi untuk negara dan generasi akan datang,” katanya.
Walaupun bimbang tentang kemungkinan kadar keluar mengundi rendah, Lim berkata pembangkang mahu melihat sehingga 80 peratus pengundi hadir di pusat mengundi.
Calon PN Machap Jaya, Tai Siong Jiul, mendapat kecaman untuk program penukaran minyak enjin motosikal anjuran PN.
Bagaimanapun, Tan menepis kebimbangan itu, berkata dia tidak membayarnya.
“Pejabat pilihan raya saya mengatur perkara ini. Ada rakan memberi sedikit tajaan untuk program itu,” katanya semalam.