Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahrir: Bubar DUN tak semudah tekan butang
Diterbitkan:  Nov 14, 2021 10:47 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Bekas menteri Shahrir Samad mengingatkan Muhyiddin Yassin bahawa membubarkan Parlimen atau DUN bukanlah proses semudah 'menekan butang'.

"Negara kita ni ada Perlembagaan. Negeri pun ada perlembagaan masing-masing. Tambahan pula, ada Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Pemerintah dan Yang di-Pertua Ketua-ketua negeri yang juga ada peranan dan tanggungjawab berperlembagaan.

"Nak bubar Dewan Rakyat atau DUN, bukan semudah dengan 'tekan butang' je. Ada prosesnya. Ia tertaklok kepada proses dibawah perlembagaan yang melibatkan peranan Ketua Negara atau Ketua Negeri," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Shahrir berkata demikian selepas kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan Shahrir sebagai 'bodoh' kerana mencabar Bersatu untuk menarik balik sokongannya kepada kerajaan negeri Johor pimpinan Umno dan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) seperti di Melaka.

Muhyiddin berkata Shahrir tidak bertanggungjawab kerana membuat cabaran sedemikian yang boleh menyebabkan satu lagi PRN mengejut ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

"Shahrir tak fikir. Dia nak mencabar saya. Saya boleh buat besok. Sekarang (pun) saya boleh tekan button (butang, untuk arahkan Adun Bersatu tarik sokongan),semua jatuh. You want to see that happen? Oh pasal saya takut nak buat begitu?

"Saya tak takut, (tetapi) sebab saya fikirkan, yang penting ialah rakyat di Johor, jangan sampai berdepan masalah seperti di Melaka," katanya.

Muhyiddin terus memberi amaran bahawa jika dia terus dicabar, dia boleh menekan butang dan "semuanya akan jatuh".

Sementara itu, Shahrir dalam kenyataan sama juga menanggapi dakwaan Muhyiddin bahawa kerajaan pimpinan Bersatu jatuh kerana Umno menarik balik sokongannya kepada PN.

"Soal 'saya jatuh Umno tidak sokong' pun ada kaitannya dengan konsep asas kepada amalan demokrasi kita, iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

"Itu, kalau kita masih boleh ingat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS