Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR disabotaj? Jentera DUN RIM didenda RM12,000 ingkar SOP - Akmal

PRN MELAKA | Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir mendakwa Pakatan Harapan mungkin menjadi mangsa sabotaj selepas gabungan itu berulang kali dikenakan kompaun atas dakwaan pelanggaran SOP.

Dia berkata di kawasan DUN Rim sahaja, PH telah dikenakan tiga kompaun berjumlah RM12,000 atas sebab-sebab yang boleh dipersoalkan termasuk melanggar prosedur operasi standard (SOP) memasang bendera parti di kawasan itu dan mengedarkan risalah.

"Menimbulkan satu persoalan mungkin akan berlaku dalam tempoh ini sabotaj kepada calon-calon kami.

"Kita tak boleh kawal siapa yang bagi risalah. Sebagai contoh mereka boleh cakap ini adalah daripada PH maka akan dikenakan kompaun itu adalah wakil calon," katanya hari ini.

Menurut Akmal, kompaun yang dikenakan menghalang proses kempen dan bukan menyekat penularan virus Covid-19.

"Kenderaan kita pun mengikut kapasiti, maksudnya mengikut beberapa orang penumpang. Tetapi kenapa (SOP) pasang bendera tiga orang, kenapa bagi risalah tiga orang," soalnya.

PH telah dikenakan pelbagai kompaun sejak bermulanya kempen pilihan raya pada awal minggu ini.

Akmal berucap di sebuah gerai makan di Felda Kemendor, DUN Rim bagi menunjukkan sokongan kepada calon PH Prasanth Kumar Brakasan.

Antara yang mengunjungi gerai makan itu ialah Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu. Bagaimanapun, mereka semua mengelak daripada bercakap kepada media, mendakwa mereka akan didenda kerana ingkar SOP.

Turut hadir Prasanth, calon ketua menteri PH Melaka Adly Zahari dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS