Keterujaan setiap kali melihat lori dan pekerja pembersihan mengutip sampah di kawasan perumahan, menarik minat seorang kanak-kanak lelaki untuk turut sama menjaga alam sekitar meskipun umurnya baru menginjak tiga tahun.
Zayn Asyraff Mohamad Aliff Hakim yang belum fasih bertutur, gemar mengutip sampah dengan membawa tong sampah mini ke mana-mana sahaja dengan ditemani ibu dan bapanya.
Mohamad Aliff Hakim Jais, 29, berkata minat anak sulungnya itu juga berbeza berbanding kanak-kanak seusianya, kerana hanya suka bermain dengan mainan lori sampah di rumah berbanding permainan lain.
“Minat anak saya mengutip sampah ini boleh dilihat sejak berusia setahun lapan bulan lagi, kerana setiap kali lori sampah lalu di depan rumah, dia akan teruja dan suruh kami buka pintu, malah dia juga suka bermain dengan lori sampah mainan berbanding mainan lain yang saya belikan.
“Pada awalnya, kami rasa agak pelik dengan minatnya kerana agak berbeza dengan kanak-kanak lain, tetapi dari sudut positif kami rasa berbangga dan sentiasa memberikan sokongan agar sikap menjaga kebersihan ini dapat dipupuk dan kami juga ambil inisiatif membelikan tong sampah mini untuknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman YPJ, yang turut dikunjungi pihak SWM Environment Sdn Bhd, di Kota Tinggi hari ini.
Isterinya, Norfaizah Mohd Esa, 28, berkata anaknya akan sentiasa mengingatkan mereka untuk membawa tong sampah mini ke mana-mana sahaja, tidak kira semasa bersiar-siar, bercuti atau ke rumah pengasuh dan sentiasa gembira setiap kali dibelikan tong sampah mini yang baru.
“Kebiasaannya apabila kami keluar bersiar-siar atau bercuti, fokus dia adalah tong sampah dan dia akan berlari kutip sampah dan buang di dalam tong sampah. Seperti baru-baru ini kami pergi ke pantai, dia sibuk berlari kutip sampah.
“Boleh dikatakan terlalu banyak tong sampah yang telah kami belikan dan dia sangat teruja sehingga melompat-lompat apabila kami belikan tong sampah dan ucap terima kasih,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
Mohamad Aliff Hakim dan Norfaizah pada masa sama berharap agar minat anak sulung mereka itu berkekalan dan dapat berbakti kepada negara suatu hari nanti, terutama dalam memelihara alam sekitar.
Minat dan kecenderungan Zayn Asyraff turut mendapat perhatian pihak SWM Environment apabila ibunya memuat naik video di Instagram yang memaparkan anaknya itu membawa tong sampah ke pantai dan keterujaannya apabila dibelikan tong sampah mini baru.
Pengurus Kawasan Servis Johor Selatan 2 SWM Environment Mohd Asrif Samion berkata Zayn Asyraff diiktiraf sebagai 'Adiwira Cilik Kebersihan dan Kitar Semula' selaras dengan tema sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan pada tahun ini, iaitu Adiwira Bumi sebagai tanda penghargaan.
“Adik Zayn Asyraff adalah model peranan kepada kanak-kanak dan masyarakat umum tentang penjagaan kebersihan dan penggunaan tong sampah secara tertib serta selari dengan Kempen Buang Sampah Ke Dalam Tong Sampah yang SWM Environment jalankan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya turut kagum dengan keupayaan Zayn Asyraff yang sudah mengenali konsep kitar semula walaupun masih kecil dan bagi melengkapi minatnya, SWM Environment telah mempamerkan proses pengendalian tong sampah beroda bersama lori kompaktor ketika lawatan mereka ke rumah kanak-kanak itu.
- Bernama