mk-logo
Berita
'Jual' imej Muhyiddin itu taktik 20 tahun lalu, kata Shamsul Iskandar

PRN MELAKA | Di atas kertas, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin menganggap BN adalah pencabar lebih besar buat Pakatan Harapan (PH) berbanding Perikatan Nasional (PN).

Selain faktor gabungan itu yang lebih berpengalaman, ada sesuatu pada PN yang memberi gambaran bahawa mereka sebenarnya berada dalam keadaan terdesak di Melaka.

Menurut Shamsul Iskandar, dia mengesyaki PN sedar kekuatan mereka sebenarnya berada pada pemimpin tertinggi, bukannya para calon yang diturunkan bertanding.

Mungkin kerana itulah, katanya, PN meletakkan gambar Muhyiddin Yassin di merata-rata tempat walaupun presiden PN itu tidak bertanding langsung di Melaka.

“Mungkin kajian PN mendapati Muhyiddin ni - dari segi kekuatannya - jauh meninggalkan (Perdana Menteri) Ismail Sabri (Yaakob). Sebab tu PN letak muka Muhyiddin banyak-banyak seolah-olah dia yang nak bertanding.

“Padahal yang nak bertandingnya (di Paya Rumput) bernama Faris. Sepatutnya dialah yang banyak ditonjolkan," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Dalam PRN Melaka ini, Shamsul Iskandar diturunkan PH untuk bertanding mempertahankan kerusi Paya Rumput dan berdepan dengan cabaran empat calon lain iaitu Muhammad Faris Izwan Mazlan (Bersatu-PN), Rais Yassin (Umno-BN), Mohamad Hashidi Mohd Zin (Putra) dan Mohd Jaini Dimon (bebas).

Peluang lebih cerah

Dalam pilihan raya lalu kerusi Paya Rumput dimenangi calon Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen yang ketika itu bergabung dalam PH. Bagaimanapun dia bersama beberapa Adun PH meninggalkan gabungan tersebut sekali gus menjatuhkan kerajaan negeri.

PH memenangi kerusi Paya Rumput dengan kelebihan 4,259 undi. Bagaimanapun Mohd Rafiq meninggalkan kerusi dimenanginya itu untuk bertanding di Telok Mas.

Kata Shamsul Iskandar langkah PN 'menjual' imej Muhyiddin itu bersifat taktikal dan kesannya belum dapat dipastikan sama ada membantu Bersatu menang atau sebaliknya.

"Tapi bagi saya itu taktik 20 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu Shamsul Iskandar turut mengulas mengenai langkah PH mencalonkan pengerusi Umno Melaka Idris Haron dalam usaha mereka memenangi sebanyak mungkin kerusi.

Kata Shamsul Iskandar walaupun banyak pihak melontarkan rasa tidak puas hati Idris tetap memberi nilai tambah kepada PH dan mencerahkan lagi usaha mereka menawan kerusi Asahan.

“Kita tahu kemasukan Idris ni sepatutnya memberikan kelebihan kepada PH iaitu boleh menjadi pertaruhan untuk merampas kerusi yang gagal kita menangi pada PRU lalu," katanya.

Menurut ahli parlimen Hang Tuah Jaya itu, Asahan merupakan kampung kelahiran Idris dan bekas ketua menteri Melaka dari Umno itu mempunyai pengaruh, sokongan dan kekuatan tersendiri.

Dengan menggabungkan kelebihan Idris bersama sokongan sedia ada pada PH, kata Shamsul Iskandar, mereka berpeluang cerah memenangi kerusi berkenaan pada 20 Nov ini.

Ada potensi menang

Asahan menjadi milik BN sejak lama apabila wakilnya Abdul Ghafar Atan memenangi kerusi berkenaan pada PRU ke-13 dan mempertahankannya lima tahun kemudian.

Pada PRU ke-11 dan 12 pula kerusi berkenaan diwakili MIC.

Untuk rekod pada 2018 Abdul Ghafar mengekalkan kemenangannya di Asahan dengan majoriti 275 undi saja.

Mengenai peluang PH di Melaka, Shamsul Iskandar berkata dia yakin mereka dalam keadaan selesa sehingga 16 kerusi - sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri sekali lagi selepas dijatuhkan tanpa pilihan raya pada tahun lalu.

Congakan itu dibuat dengan andaian DAP memenangi semua lapan kerusi yang mereka tandingi (Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Duyong, Bandar Hilir, Bemban dan Kota Laksamana), lima kerusi PKR (Rembia, Rim, Machap Jaya, Kelebang dan Paya Rumput) serta tiga lagi kerusi Amanah termasuk salah satunya Bukit Katil.

Kesemua kerusi yang disebut Shamsul Iskandar itu merupakan tempat kemenangkan PH pada PRU lalu, kecuali Rim yang diakui merupakan kerusi tradisi Umno.

Pada 2018 PH meletakkan Shamsul Iskandar di Rim namun gagal memenangi kerusi berkenaan.

“Dulu saya kalah dengan 500 undi lebih. Sekarang PH letak Ketua Pemuda PKR Melaka (B Prasanth Kumar). 

"Memang ia tidak akan mudah tapi dengan pelbagai isu yang ada pada calon parti lawan, saya percaya dia ada potensi untuk menang,” katanya.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dan sesebuah gabungan parti memerlukan sekurang-kurangnya 15 kerusi untuk menubuhkan kerajaan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS