Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlu ada ruang berkempen fizikal, kata bekas timbalan pengerusi SPR

Bekas timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar menyarankan suruhanjaya itu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) kempen bagi membolehkan ia dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, seperti mana tuntutan demokrasi.

Wan Ahmad berkata dia sedar SOP ketat dikenakan ketika ini adalah atas saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Namun, katanya, jika kedai makan dan pasar raya boleh dibuka kepada orang ramai, sepatutnya kempen juga dibenarkan dengan pemantauan yang ketat.

"Kempen sebahagian daripada demokrasi pilihan raya, kalau banding orang pergi pasar raya, pergi kedai kopi lepak, pelik pula dibenarkan.

"Walhal kalau dibenarkan ceramah, saya kira boleh, tapi perlu ada akujanji supaya patuhi SOP yang ditetapkan.

"Perlu ada ruang berkempen secara fizikal, calon perlu diberi peluang bertemu pengundi untuk memperkenalkan diri dan mengatakan tawarannya kepada pengundi," katanya ketika dihubungi.

Dua hari lalu, media melaporkan Umno menganggap syarat ketat yang terkandung dalam SOP untuk PRN ini sebagai amat melampau dan seakan-akan mengikat pihak yang terlibat.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata dengan kekangan yang pelbagai itum kegiatan meraih undi terhalang.

"Lebih baik kita tak payah ada pilihan raya. (Walkabout) dari rumah ke rumah tak boleh, itu tak boleh, semua tak boleh.

"Lebih baik kita main bertepuk bertampar kat rumah saja," katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto BN di Ayer Keroh, Melaka.

Turut meluahkan perkara sama sebelum itu, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin yang mahukan SPR memberi kelonggaran pada SOP kempen.

Dalam pada itu Wan Ahmad berkata tidak semua pengundi celik media sosial meskipun kempen kini berfokus pada medium berkenaan.

Katanya, sekitar 30 peratus pengundi Melaka berusia 60 tahun ke atas dan sudah pasti tidak mesra teknologi maklumat dan media sosial.

"Tak semua pengundi celik media sosial, mereka perlukan cara lama nak tengok calon bertanding dan semua parti dapat nikmati kelonggaran itu.

"Saya faham jika parti politik luahkan rasa tak puas hati, agak keterlaluan sehingga itu tak boleh ini tak boleh," katanya lagi.

Awal hari ini, polis Melaka mengeluarkan kompaun kepada calon PH kerana didakwa menyertai 'walkabout' dengan mengunjungi sebuah warung sambil berpakaian yang tertera logo parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS