Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersih sifatkan tindakan penguatkuasaan 'melampau' pada PRN Melaka
Diterbitkan:  Nov 12, 2021 9:47 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

PRN MELAKA | Badan pemantau pilihan raya Bersih menyuarakan kebimbangan berhubung "tindakan penguatkuasaan yang melampau" diambil oleh pihak polis berhubung dakwaan pelanggaran SOP Covid-19 ketika kempen yang sedang berlangsung ketika ini.

Bersih menyorot tindakan yang diambil seperti denda yang berat ke atas parti politik dan calon di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Rancangan Pemulihan Negara) 2021 (Peraturan NRP).

“Kejadian terbaru seorang individu di Alor Gajah dikenakan denda RM4,000 kerana berkempen dengan memakai jaket berlogo Pakatan Harapan (PH) ia sesuatu yang mengarut dan melampaui batas.

"Ia datang dengan laporan lain bahawa KKM dan polis 'menyerbu' mesyuarat majlis presiden PH di Melaka dan hanya berhenti apabila dimaklumkan bahawa mesyuarat parti dibenarkan di bawah garis panduan SPR," kata Bersih dalam satu kenyataan.

Kata badan itu lagi sekatan dan denda yang dikenakan ini bukan lagi mengenai pengurusan Covid-19 tetapi penindasan kempen pilihan raya secara keseluruhan.

Jelasnya, pilihan raya bukan soal membuang undi pada hari pengundian semata-mata tetapi merangkumi keseluruhan proses berkempen.

Dalam kejadian terbaru, polis Melaka mengeluarkan kompaun RM4,000 kepada calon PH yang memakai pakaian dengan lambang parti politik kerana didakwa berkempen di sebuah kedai makan pada Rabu.

Ketua Polis Negeri Melaka Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi berkata calon itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya negeri (PRN) Melaka dengan didakwa mengambil bahagian dalam 'walkabout' di Alor Gajah.

Perkembangan ini hadir selepas Pengarah Komunikasi PKR Fadmi Fadzil menyiarkan salinan kompaun polis di media sosial, menyelar polis kerana mengeluarkan kompaun terhadap seseorang yang berbaju tertera logo parti.

Fahmi memberitahu Malaysiakini bahawa kompaun itu dikeluarkan terhadap calon PKR Machap Jaya Law Binh Haw.

Bersih berkata "tindakan keterlaluan" sedemikian telah "mengharamkan" pilihan raya dengan dan menindas demokrasi - selain melanggar Perkara 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dan kebebasan bersuara.

Bersih berkata, ia juga berkemungkinan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, di mana menurut Seksyen 24B, calon "boleh mengadakan, memanggil atau menganjurkan apa-apa mesyuarat terbuka, perhimpunan awam terbuka, pameran awam terbuka atau hiburan awam terbuka atau memberi ucapan atau syarahan terbuka di kawasan yang ditandingi calon."

Semua perhimpunan fizikal berkaitan pilihan raya negeri Melaka dilarang diadakan sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan terhadap lonjakan jangkitan Covid-19.

Bersih hari ini mengulangi bantahannya berhubung larangan menyeluruh terhadap kempen pilihan raya secara bersemuka tanpa alternatif yang jelas diberikan kepada semua calon bertanding.

Bersih turut mempersoalkan peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya bertindak bagi memudahkan kempen yang selamat di Melaka.

"Kami menggesa larangan sepenuhnya terhadap kempen fizikal ditarik balik dan garis panduan jelas yang mematuhi Fasa 4 Program Pemulihan Negara disediakan pada minggu terakhir kempen," kata Bersih.

Dalam pada itu, Bersih menggesa semua pihak agar memanfaatkan kempen melalui "Suara Untuk Semua" kerjasama Astro Awani, Sinar Harian dan SinChew Daily, untuk mendapatkan liputan TV, media cetak dan media sosial untuk kempen mereka.

Setakat ini, larangan menyeluruh terhadap perhimpunan fizikal berkaitan pilihan raya di Melaka telah menyebabkan parti dan calon memindahkan sebahagian besar aktiviti mereka secara dalam talian, atau memilih untuk mengadakan acara fizikal di luar negeri, seperti ceramah PN yang diketuai oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan pemimpin parti komponen di sebuah hotel di Shah Alam semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS