Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon PKR dikompaun polis kerana sertai 'walkabout' berpakaian logo parti

Polis Melaka mengeluarkan kompaun RM4,000 kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang memakai pakaian dengan lambang parti politik kerana didakwa berkempen di sebuah kedai makan pada Rabu.

Ketua Polis Negeri Melaka Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi berkata calon itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya negeri (PRN) Melaka dengan didakwa mengambil bahagian dalam 'walkabout' di Alor Gajah.

Perkembangan ini hadir selepas Pengarah Komunikasi PKR Fadmi Fadzil menyiarkan salinan kompaun polis di media sosial, menyelar polis kerana mengeluarkan kompaun terhadap seseorang yang berbaju tertera logo parti.

"Gila, pakai lambang PH pun kena kompaun. Sebab lambang kan sebar virus.

"Cuma bukan virus Covid, tapi virus demokrasi. Itu virus yang mereka paling takut," kata Fahmi melalui ciapan Twitter.

Fahmi memberitahu Malaysiakini bahawa kompaun itu dikeluarkan terhadap calon PKR Machap Jaya Law Binh Haw.

“Calon itu berada di kedai makan pada 10 Nov, tetapi kakitangan kami diberitahu untuk datang ambil saman itu petang semalam,” katanya.

 

Ketika ditanya mengenai perkara ini, Majid berkata memakai baju berlambang parti dilihat sebagai tindakan berkempen.

“Kalau anda (calon PRN) pakai baju parti pergi warung makan, itu bermakna anda sudah berkempen," katanya.

"Dia boleh buat rayuan kepada KKM, jika rayuan kepada KKM itu masih tak puas hati, dia boleh bawa kes pergi mahkamah," katanya.

Law diberitahu untuk membayar denda RM4,000 selewat-lewatnya pada 25 Nov atau dia boleh didakwa di mahkamah.

Kompaun itu dikeluarkan di bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS