Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan Rosmah gugurkan hakim didengar 14 Dis
Diterbitkan:  Nov 12, 2021 10:06 AM
Dikemaskini: 2:06 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 14 Dis depan untuk mendengar permohonan Rosmah Mansor bagi menggugurkan hakim yang mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai RM7 juta membabitkan dirinya.

Peguam Geethan Ram Vincent, yang mewakili isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu berkata, tarikh pendengaran ditetapkan semasa pengurusan kes di mahkamah pagi ini.

“Permohonan itu akan didengar pada 14 Dis,” kata peguam berkenaan.

Geethan berkata, mahkamah juga menetapkan 19 Nov untuk pihak pendakwaan menjawab permohonan Rosmah; 26 Nov untuk sebarang jawapan yang akan dibuat oleh pasukan peguam; 3 Dis untuk pihak pendakwaan memfailkan hujah bertulis mereka; dan 10 Dis untuk peguam memfailkan hujahan bertulis mereka.

Rosmah sebelum ini memohon hakim berkenaan, Mohamed Zaini Mazlan digugurkan kerana mempunyai risiko prejudis terhadapnya apabila mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai berkenaan.

Menerusi permohonan yang difailkan pada 2 Nov, Rosmah mendakwa terdapat risiko sedemikian berikutan Zaini membenarkan pihak pendakwaan mengemukakan pernyataan beramaran SPRM dalam kes rasuah berasingan yang dikaitkan dengan projek tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Zaini bukan sahaja mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai tersebut, malah perbicaraan rasuah berkaitan projek solar hibrid berkenaan.

Pada 21 Okt, semasa peringkat pembelaan perbicaraan rasuah berkaitan projek solar itu, hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan mencabar kredibilitinya dengan merujuk kepada pernyataan amaran yang diberikannya kepada SPRM semasa siasatan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai itu.

Terdahulu, pada 18 Feb tahun ini, Zaini mengarahkan Rosmah membela diri dalam kes rasuah projek solar itu.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Isteri bekas perdana menteri didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS