Paling Popular
Terkini

PULASAN | Suatu hari pada Mei 2018 di sebuah pusat pembuangan undi. Seorang lelaki kecewa apabila calon yang mewakili parti yang disenanginya tidak dapat bertanding.

Ada sebab tertentu mengapa calon berkenaan dibatalkan penyertaannya dalam pilihan raya umum (PRU). Maka tinggal dua nama saja yang tertera di kertas undi untuk dewan undangan negeri (DUN).

Namun lelaki itu enggan berpeluk tubuh. Dia berusaha berbaris panjang menunggu giliran untuk mengundi. Sehelai kertas untuk dewan DUN dan sehelai lagi untuk parlimen.

Di kertas untuk DUN, dia menulis: "Tok sey ke mung!" di kotak atas dan "Tok sey jugok!". Itu hanya secebis kecil daripada segunung rasa marahnya.

Pada kertas untuk memilih ahli parlimen, dia memangkah pada kotak di sebelah kanan nama tokoh senior. Calon itu bukan berada dalam kumpulan yang disokongnya, tetapi atas sebab tertentu lelaki berkenaan menyumbang undinya untuk menghantar tokoh tersebut ke Dewan Rakyat.

Calon parti yang disokongnya ada, tetapi Naj - nama lelaki itu - enggan menghantar dia ke parlimen. Naj memilih untuk mengekalkan penyandang kerusi parlimen itu.

Dan ternyata dia benar. Ahli parlimen tersebut menang, tetapi partinya secara keseluruhan kalah. Lalu ahli parlimen yang dihormati atas kewibaannya itu pun jadi pembangkang - untuk seketika.

Dia kemudian melompat meninggalkan parti lamanya untuk menyertai parti baru!

Tahap memalukan

Suka atau tidak, amalan demokrasi di negara ini sebenarnya penuh dengan kurap dan kudis. Pedulilah mahu dibedakkan dengan apa pun, atau disolekkan dengan jenama apa pun, ia tetap hodoh. Mungkin belum sampai ke tahap teramat hodoh, tetapi yang sekarang ini sudah cukup hodoh.

Dengan menilaikan bagaimana kerajaan merahsiakan tarikh pembubaran parlimen saja sudah cukup untuk meletakkan demokrasi di negara ini ke tahap yang memalukan.

Setakat ini semua pembubaran parlimen dibuat secara pengecut. Ia hanya diumumkan pada saat-saat akhir, sekali gus meletakkan padang perlumbaan menjadi senget sebelah. Bukan alang-alang punya senget.

Dan lawaknya parti pembangkang pula dengan taat dan takzim menyambut cabaran parti kerajaan untuk bertarung ketika mereka sedar medan tempur itu disusun dengan mengetepikan faktor-faktor keadilan.

Sudah 14 kali negara ini melalui PRU dan perubahan signifikan berlaku pada 2018. Buat pertama kali BN kecundang teruk dan pengemudi kerajaan bertukar tangan. Syukur ia berlaku dengan aman dan teratur.

Pun begitu ia tidaklah menafikan perjalanan PRU itu penuh dengan kebusukan. Memilih hari bekerja untuk membuang undi misalnya. BN pun tumbang. Ia bukanlah suatu indikator perjalanan PRU tersebut berlangsung dengan membanggakan.

Ia masih penuh dengan kudis dan kayap. Cuma kudis, kurap dan kayap itu dikalahkan oleh rasa meluat orang ramai. Kebencian itu terlalu tinggi sehingga menekan segala taktik yang dirancang sebelumnya.

Sedikit kekecewaan dan kemarahan rakyat terubat dengan keputusan itu.

Sebagai sebuah negara yang mengaku beramal dengan demokrasi, semua pihak perlu menghormati suara rakyat. Walaupun ia bukanlah keputusan yang diinginkan, suara rakyat menentukan kedudukan parti politik.

Ia wajib dihormati dan dijunjung.

Tukang kempen bermuka tebal

Kemudian datanglah Langkah Sheraton. Suara majoriti itu dinafikan dengan penuh bergaya dan tanpa malu. Ia juga disakralkan dengan pelbagai hujah dan dalil oleh orang yang memang mahir memberi dalil serta dalih.

Berbelit-belit orang politik memberikan justifikasi untuk menunjukkan mereka berada di pihak yang benar. Sekali gus - tanpa banyak disedari orang - itu bermakna orang politik terbabit menyalahkan pengundi.

Amalan membelot dan melompat parti pun berlakulah. Dengan melacurkan nama rakyat mereka tanpa sedikit pun malu bertindak membelakangkan undi orang ramai yang menghantar mereka ke DUN atau Dewan Rakyat.

Apabila DUN Melaka dibubarkan, perlembagaan negara (yang pernah dilabelkan sebagai perlembagaan jahiliah oleh sesetengah orang politik berkulit biawak) menetapkan perlu diadakan pilihan raya baru. Maka SPR pun bermesyuarat untuk memilih tarikh bagi melaksanakan pilihan raya negeri (PRN).

Melaka pun ditetapkan untuk memilih. Ia memang satu lagi 'pesta' demokrasi tetapi ia bukanlah demokrasi yang membanggakan sangat. Maka berkempenlah parti-parti yang terlibat untuk meraih undi.

Untuk berlaku adil, memang ada sedikit perubahan pada pilihan raya yang ini. Bukan disebabkan prosedur operasi standard (SOP) itu. Ia adalah hal yang lain.

Sedikit perubahan itu ialah media massa kerajaan tidak lagi menjadi tukang kempen yang bermuka tebal seperti tahun-tahun sebelum ini. Media massa bukan kerajaan juga nampaknya lebih terbuka walaupun rasa takut-takut itu masih ada.

Entah disebabkan oleh kesedaran akan sifat demokrasi, atau kerana takutkan suara rakyat, atau haya disebabkan tuntutan pendapatan, atau kerana bercemperanya kombinasi kerajaan semasa di Putrajaya, ia tidak dapat dipastikan.

Namun ia adalah perkembangan yang baik.

Padang permainan yang rata

Di sebalik itu ada juga perkembangan yang meresahkan. Misalnya bagaimana ada pemimpin parti yang menjadi kerajaan mengulang-ulangkan ratib berkenaan Pakatan Harapan (PH) dan iltizam masing-masing untuk mengelakkan gabungan itu (atau serapah yang paling disukai mereka: DAP) "kembali berkuasa".

Ia adalah perkara lumrah dalam persaingan politik. Sikap berkenaan adalah benar dan betul, sehinggalah kita tersedar bahawa PH itu menjadi kerajaan kerana diangkat oleh rakyat.

Berikrar untuk menghalang pihak yang kita tidak suka untuk menjadi kerajaan memang dibenarkan dalam demokrasi, tetapi menafikan suara rakyat pula adalah dosa besar untuk demokrasi.

Ini adalah isu demokrasi, bukannya cenderung atau menyokong mana-mana pihak. Seandainya perangai itu dilakukan oleh PH ke atas BN atau Perikatan Nasional pun, kita wajib memarahi mereka dan memaki tindakan yang songsang itu adalah terpakai untuk semua.

Atas nama kuasa dan percaturan parti ada pemimpin yang terlupa bahawa PH itu adalah kerajaan yang dipilih oleh majoriti pengundi pada 2018. Tidak ada sesiapa yang memaksa mereka memangkah kertas undi mengikut ketentuan orang lain.

Namun tindakan menafikan itu dan ini, atau berjanji untuk menghalang parti tertentu untuk berkuasa - ketika sebelumnya ia sudah mendapat mandat untuk menjadi kerajaan - samalah dengan menganggap rakyat ini tidak mempunyai nilai walaupun satu sen.

Perlembagaan membuka ruang untuk rakyat memilih kerajaan. Sebuah badan (yang sepatutnya) bebas pula dibentuk sebagai 'pengadil' untuk parti-parti politik berdaftar bertanding. Padang permainan sepatutnya seimbang dan rata.

Selebihnya ialah kebebasan rakyat untuk memilih.

Meluat kepada politik

Tiba-tiba ada pihak yang mungkin, membelot, berkendak dan merampas suara rakyat terbanyak tanpa rasa aib atau seumpama dengannya. Dan mereka berjemaah mengaku sebagai penyelamat.

Tidak cukup dengan itu mereka berikrar untuk menghalang parti yang beroleh sokongan itu kembali menjadi kerajaan. Demokrasi apakah ini? Tiadakah sedikit pun kesipuan dalam hati masing-masing?

Justeru PRN Melaka ini adalah kesempatan yang sangat baik untuk segelintir rakyat mengajar orang politik serta parti mereka mengenai makna kuasa rakyat. Ia juga kesempatan untuk membuat mereka tidak lagi mendongak semasa berjalan melintas di depan orang ramai selepas berakhirnya sesuatu pilihan raya.

Mereka tidak boleh dibiarkan menunjal kepala rakyat dengan hujah-hujah yang dangkal lagi keji.

Orang politik mesti dijadikan takut kepada pengundi, bukan sebaliknya. Caranya tidak lain dan tidak bukan ialah menolak sesiapa saja yang cuba membodohkan orang ramai. Atau sesiapa saja yang menghulurkan gula-gula janji di tangan kanan dan menyorokkan tangan kiri menggenggam belati di belakang punggungnya yang tengik.

Naj di Jeli itu bukanlah orang pertama dan terakhir yang meluat kepada politik selekeh serta murahan di negara ini. Lama sebelum Naj merosakkan kertas undi, seorang lelaki lain di Jelutong, Pulau Pinang, juga bertindak lebih kurang sama.

Pada kertas undi bagi kerusi parlimen yang diterimanya, ada dua nama tertera. Di sebelah kanan, dia melukiskan gambar ular, dan pada petak satu lagi dia melukis gambar babi.

Ia adalah rasa kekecewaan yang sudah lama. Sesuatu mesti dibuat agar orang politik yang kita lantik menjadi wakil di DUN atau parlimen sedar diri bahawa mereka adalah hamba rakyat. Sandiwara sesama orang politik sudah amat keterlaluan hinanya.

Rakyat dan pengundi di seluruh negara berharap tugas itu dapat diwakilkan kepada pengundi Melaka pada 20 Nov ini.

Pembelotan tidak boleh dibiarkan terlepas tanpa hukuman. Ini saat untuk membenamkan keberanian orang politik bertindak sesuka hati dan menjual nama rakyat tanpa sebarang nilai.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang tidak sempat memangkah ahli parlimen bakal menjadi duta Malaysia ke Indonesia.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS