Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas CFO: Saya tidak tahu jutaan dana 1MDB dipindah ke Tanore
Diterbitkan:  Nov 11, 2021 6:58 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Bekas ketua pegawai kewangan 1MDB telah memberi keterangan bahawa beliau tidak menyedari ratusan juta dolar Amerika Syarikat (AS) daripada firmanya itu dipindahkan kepada Tanore Finance Corporation dan dua pihak ketiga yang lain.

Semasa perbicaraan rasuah RM2.28 bilion hari ini membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, saksi pendakwaan ke-12 Azmi Tahir mendakwa bahawa dia hanya mengetahui tentang pemindahan 2013 intu melalui media.

Dia merujuk kepada jejak kewangan yang berbelit-belit pada Mac 2013, yang menyaksikan ratusan juta dolar AS dipindahkan kepada Tanore, Granton Property Holding Limited dan Enterprise Emerging Markets Fund.

Sebelum ini dalam kenyataan pembukaan pendakwaan pada permulaan perbicaraan, adalah dimaklumkan bahawa berikutan jejak kewangan yang besar, AS$681 juta telah dipindahkan ke akaun peribadi tertuduh antara akhir Mac dan awal April 2013. Ini adalah antara perkara pokok pertuduhan yang dihadapi oleh Najib.

Azmi awal hari ini memberi keterangan bahawa dia dan beberapa kakitangan 1MDB lain bekerja secara berasingan dan tertutup berdasarkan aturan yang dibuat oleh ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dan bahawa dia mengikut arahan Low kerana menganggapnya sebagai mandat Najib.

[Baca berita penuh]

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa usaha sama antara 1MDB dengan anak syarikat International Petroleum Co (IPIC) iaitu Aabar Investment PJS (Aabar) merupakan cadangan Najib Razak.

‘Najib cadang usaha sama 1MDB dengan Aabar’

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kepada beliau dan syarikat hasil usaha sama tersebut, Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC), telah didaftarkan di Kepulauan Virgin British pada 5 Mac 2013 oleh peguam 1MDB Jasmine Loo.

Azmi berkata beliau tidak tahu secara terperinci tujuan sebenar penubuhan ADMIC tetapi memandangkan perkara itu telah ditetapkan oleh Loo, ia pasti adalah kehendak Jho Low.

“Saya mula diarahkan secara aktif oleh Jho Low apabila terdapat cadangan oleh beliau untuk menjalinkan usaha sama dengan Aabar pada hujung 2012 dan saya sebagai CFO akan dilibatkan dalam setiap tindakan yang membabitkan proses kewangan.

“Termasuklah pada tahun 2013, ketika itu Jho Low dan Najib sedang berusaha untuk memastikan usaha sama antara G to G (kerajaan dengan kerajaan) melibatkan Abu Dhabi dan Malaysia dijayakan,” kata Azmi.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 127 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata cadangan usaha sama antara Abu Dhabi dan Malaysia dimulakan dengan Parcel A.1.0 di TRX namun ia tidak dilaksana kerana terdapat beberapa perubahan selepas itu.

“Kemudian (ada) satu lagi rancangan usaha sama dengan Aabar berkaitan pelaburan dan pembangunan aset hartanah namun saya juga tidak terlibat kerana ia berada di bawah seliaan bahagian pelaburan dan Loo. Setahu saya, rancangan usaha sama ini juga tidak jadi.

“Selepas kedua-duanya gagal, Jho Low telah merancang usaha sama ketiga yang dinamakan ‘Projek Pemangkin’ dan beliau mengarahkan Loo untuk mengetuai projek itu kerana ia melibatkan kutipan dana sebanyak US$6 bilion memandangkan Loo lebih mahir dalam mata wang tersebut,” katanya.

Azmi berkata pada awal perbincangan mengenai projek ini, Jho Low telah mengeluarkan cadangan untuk menggunakan ‘Letter of Comfort’ Kementerian Kewangan sebagai jaminan kepada penerbitan bon ini.

“Projek ini merupakan arahan Najib melalui Jho Low dan Jho Low telah mengarahkan untuk mempercepat prosesnya terutama dari segi mendapatkan terbitan bon. Disebabkan itulah ia dilakukan secara tergesa-gesa dan sangat cepat,” katanya.

Azmi kemudian dirujuk kepada surat sokongan bertarikh 14 Mac 2013 yang ditandatangani Najib iaitu Menteri Kewangan ketika itu bagi mewakili Kerajaan Malaysia.

Saksi itu berkata surat tersebut bertujuan menyokong penerbitan bon berjumlah US$3 bilion dan sebagai satu jaminan yang akan meletakkan tanggungjawab serta komitmen kepada kerajaan sekiranya 1MDB gagal membuat pembayaran semula.

“Najib telah meluluskan surat sokongan ini dengan menandatanganinya dalam tempoh yang singkat. Ia selari dengan apa yang dimaklumkan oleh Jho Low kepada kami bahawa Najib akan meluluskannya dan kami tidak perlu risau tentang kelulusan tersebut,” katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS