Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA, DAP lancar 'perang katak politik'
Diterbitkan:  Nov 11, 2021 6:50 PM
Dikemaskini: Nov 12, 2021 9:53 AM

PRN MELAKA | Kempen MCA terus memberi fokus kepada isu 'katak politik' yang menyaksikan komponen BN itu menyerang pemimpin DAP kerana membiarkan dua bekas Adun Umno bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH).

Sebagai reaksi balas, DAP pula mendakwa MCA sebagai parti yang bersaudara dengan "tuan besar katak".

Pada Selasa lalu Presiden MCA Wee Ka Siong menarik perhatian ramai apabila dia membangkitkan bagaimana dua pemimpin DAP Melaka - Tey Kok Kiew dan Kerk Chee Yee - hadir semasa sidang akhbar yang menyaksikan dua bekas Adun Umno terbabit hadir.

Dua bekas Adun berkenaan ialah Idris Haron dan Nor Azman Hassan.

Semasa sidang akhbar pada 4 Okt lalu Idris bersama tiga Adun penyokong kerajaan mengumumkan keputusan mereka menarik balik sokongan kepada Sulaiman Md Ali selaku ketua menteri.

Dalam hantarannya di Facebook, Wee membulatkan muka Tey - yang juga Pengerusi DAP Melaka - dan Kerk sebagai mengukuhkan dakwaannya bahawa mereka menyokong "katak politik".

"DAP sekarang kata mereka menolak katak politik. Tetapi pada 4 Okt, mereka mahu membentuk kerajaan baru dengan katak politik.

"Apabila cuba merampas kuasa, mereka menyokong katak. Apabila meminta undi, mereka mengatakan mereka menolak katak. Ini adalah double standard.

"Adakah (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng dan Tey mahu untuk menjelaskan hal ini?" tanya Wee.

Tak berhak kritik

Susulan kejatuhan kerajaan Melaka pimpinan BN, majlis presiden Pakatan Harapan bersetuju meletakkan Idris dan Nor Azman Hassan, yang kedua-duanya dipecat daripada Umno kerana menarik balik sokongan kepada Sulaiman.

Bagaimanapun, DAP secara terbuka menyatakan bahawa mereka membantah keputusan ini tetapi tidak diundi dalam majlis presiden.

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng menuduh (pemimpin) DAP cuba menonjolkan landasan moral yang tinggi tetapi hakikat bahawa semua ahli parlimen DAP Melaka mengapit Idris menunjukkan mereka hipokrit.

"Gambar itu menggambarkan realiti. Bukan mudah untuk DAP berselindung. Cukuplah. Berhenti berlakon," katanya.

Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Wong Kah Woh kemudian menyertai perbalahan itu dengan menunjukkan gambar pemimpin MCA diiringi "katak". Seperti Wee, Wong membulatkan beberapa muka ahli parlimen yang berpaling tadah.

Satu daripada gambar itu menunjukkan Wee dalam kereta bersama bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali.

Kedua-dua Muhyiddin dan Azmin memenangi kerusi masing-masing - iaitu Pagoh dan Gomak - atas tiket PH sebelum mereka meninggalkan gabungan berkenaan untuk membentuk gagasan baru dalam Langkah Sheraton.

Satu lagi gambar memaparkan Timbalan Presiden MCA Dr Mah Hang Soon bersama Hee Yit Foong iaitu Adun Jelapang berpaling tadah daripada DAP untuk membantu BN membentuk kerajaan Perak pada 2009.

Wong berkata pada 2009 dan 2020, MCA telah meminta bantuan pembelot untuk kembali dalam kerajaan, manakala DAP tidak pernah berbuat demikian. Justeru Wong berkata Wee tidak layak mengkritik DAP.

“Saya mahu MCA tahu bahawa semua orang berhak mengkritik ‘katak politik’ kecuali MCA.

"Sejarah telah menunjukkan bahawa MCA bersaudara dengan ketua katak. Wee dan timbalannya - melalui sokongan 'katak' - menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah dan kedua-duanya menjadi sebahagian daripada eksekutif," katanya.

Wee kini adalah menteri pengangkutan manakala Mah, yang dilantik menjadi timbalan menteri pendidikan selepas dijadikan senator.

Mah adalah ahli exco kerajaan negeri Perak selepas pertukaran kerajaan pertengahan penggal pada 2009.

Wong berkata DAP secara konsisten menentang menerima pembelot manakala MCA tidak boleh mengaku perkara yang sama.

"MCA mesti faham bahawa DAP mempunyai prinsip. Kami tidak akan sekali-kali bersaing dengan anda. Kami membantah katak politik, tidak seperti (pemimpin) MCA yang merupakan sekumpulan hipokrit," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS