Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pinda perlembagaan Melaka tak boleh halang Adun melompat

PARLIMEN | Meminda perlembagaan negeri untuk membolehkan lima Adun dilantik tanpa melalui pilihan raya tidak mampu menyekat perbuatan wakil rakyat berpaling tadah.

Menurut Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dia mahu berpesan kepada BN - yang mengemukakan cadangan itu melalui manifesto mereka untuk PRN Melaka - bahawa tindakan tersebut tidak menjamin terhalangnya amalan melompat parti.

Kata Khoo di Sabah sudah ada peruntukan perlembagaan mengenai Adun lantikan tetapi masih wujud wakil rakyat yang berpaling tadah dengan menyokong parti lain.

"Maka yang paling penting (untuk mengelakkan wakil rakyat membelot) kita mesti luluskan akta antilompat parti dgn cepat, itu penting," katanya semasa membahaskan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam BN mengumumkan manifesto mereka untuk PRN Melaka dengan menawarkan pelbagai ikrar termasuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan lima orang dilantik sebagai Adun.

Langkah itu, menurut BN, dibuat bagi mengelakkan tindakan wakil rakyat berpaling tadah menyokong pihak lawan sekali gus menjatuhkan sesebuah kerajaan seperti yang berlaku baru-bar ini.

Untuk membolehkan pindaan itu, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, BN memerlukan kemenangan dua per tiga di DUN Melaka.

Bagaimanapun untuk rekod Sabah memang sudah mempunyai peruntukan berbuat demikian apabila lima Adun boleh dilantik selain 60 wakil rakyat yang memenangi pilihan raya.

Pada 2020 kerajaan Warisan di Sabah cuba dijatuhkan apabila sekumpulan Adun berpaling tadah untuk menyokong BN-Perikatan Nasional (PN) namun kerajaan baru tidak dapat dibentuk apabila DUN negeri itu dibubarkan.

Ketika itu BN-PN mendakwa mereka memiliki 33 sokongan daripada Adun Sabah.

Khoo yang juga pengarah pilihan raya DAP Melaka menambah, Umno juga buat pertama kali mensyaratkan calon mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) sebelum boleh bertanding dalam PRN.

Katanya langkah itu dibuat bagi memastikan calon terbabit tidak membelot selepas menang.

Namun kata Khoo orang ramai ketika ini memang tidak yakin calon yang akan pilih boleh kekal dengan parti masing-masing sebaliknya bimbang jika mereka melompat.

"Rata-rata (pengundi) ada fikiran sedemikian," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS