Warganet memberikan reaksi berbeza terhadap tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, menyampaikan ucapannya menggunakan bahasa Melayu di pentas persidangan antarabangsa malam tadi.
Rata-rata netizen memuji ahli parlimen PAS itu yang dianggap berani menggunakan medium bahasa Melayu kerana langkah sebegitu sangat langka dilakukan oleh pemimpin negara.
Pun begitu sesetengah pihak pula memandang sinis keputusan diambil Tuan Ibrahim.
Tinjuan di media sosial mendapati ada netizen yang menyifatkan tindakan Tuan Ibrahim memartabatkan bahasa kebangsaan, dan pada masa sama ia juga dianggap membayangkan timbalan presiden PAS itu tidak mahir berbahasa Inggeris.
Pemilik akaun Facebook Azam Suffian misalnya berpendapat tiada masalah untuk seseorang menteri menggunakan bahasa kebangsaan di pentas antarabangsa.
"Penggunaan BM (bahasa Melayu) di pentas antarabangsa tidak ada masalah. Yang menjadi masalah bagi setengah pihak ialah yang berucap itu dari PAS.
"Saya percaya jika yang berucap dalam BM itu dari Amanah, DAP ataupun PKR tentu tiada masalah," tulisnya di Facebook.
Ucapan empat minit
Bagi pengguna Facebook Mira Yusop, dia berpendapat tidak wajib untuk menggunakan bahasa Inggeris pada persidangan antarabangsa.
"Semua tak wajib guna English pun persidangan ni.. ada translator (penterjemah) tak de masalah pun dia cakap BM. Sebab ada menteri dari negara-negara lain pun cakap bahasa ibunda diorang.
"Semua dah ada auto-translator... So korang tak payah risau OK. Bukan dia sorang je tak becakap bahasa omputih tu.. chill je," tulisnya.
Pengguna media sosial, MK Khai Zeirol secara sinis berkata adalah lebih baik menteri berbahasa Melayu berbanding wakil rakyat yang memiliki kerakyatan tapi tidak fasih berbahasa Melayu.
"OK-lah cakap bahasa Malaysia, ada satu YB tu bahasa Malaysia pun tak paham tapi ada IC (kad pengenalan) Malaysia hahhaha," katanya.
Semalam, Tuan Ibrahim berucap di pentas Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-26 (COP26) di Glasgow, Scotland.
Klip video ucapan selama kira-kira empat minit itu turut dikongsi Tuan Ibrahim di media sosialnya.
Sementara itu, pengguna media sosial dikenali sebagai Howard Tan mendakwa Tuan Ibrahim gagal menonjolkan kehebatan Malaysia di pentas antarabangsa.
"Kita kagum bila orang luar datang ke Malaysia menyampaikan ucapan dalam BM. Kita kata dia hebat sebab fasih bahasa selain bahasa ibunda.
"Tuan Ibrahim gagal menonjolkan kehebatan Malaysia di platform antarabangsa COP26.
"Di mata dunia, Malaysia bukan lagi sebuah negara yang dikagumi disebabkan oleh tindakan menteri ini," tulisnya di Facebook.
Pemilik akaun Facebook, Amirul Ihsan, berkata COP26 bukan tempat yang sesuai untuk Tuan Ibrahim menjadi pejuang bahasa kebangsaan.
"Tak kena tempat pun kalau nak jadi pejuang bangsa. Cuba bayangkan setiap wakil yang berucap tu guna bahasa masing-masing. Agaknya sampai ke matlamat tu?" tulisnya.
Sesetengah pengguna media sosial pula berharap Tuan Ibrahim akan kekal berbahasa Melayu jika diberikan ruang berucap di mana-mana pentas lain selepas ini, termasuk di negara Arab.
Dengan itu kata mereka barulah dia wajar dianggap sebagai pejuang bahasa Melayu sebenar dan bukannya bertindak sedemikian kerana kekangan bahasa Inggeris.