mk-logo
Berita
Hutan Kuala Langat diwarta semula bila kebuntuan laluan ECRL selesai

Kerajaan Selangor masih belum mewartakan semula sebahagian kawasan hutan Kuala Langat (Utara) menjadi rizab kekal.

Antara sebabnya kerana ia terus bertembung dengan Putrajaya mengenai jajaran projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberitahu media hari ini penyelesaian mengenai kebuntuan ECRL yang telah lama wujud itu dijangka dapat dicapai pada "akhir tahun ini" atau awal 2022.

Hanya selepas itu barulah kerajaan Selangor boleh menentukan berapa banyak hutan yang akan diwartakan semula.

"Kita dalam peringkat akhir, kita dalam proses akhir untuk bincang dengan kerajaan persekutuan untuk mengesahkan (bahagian untuk jajaran) ECRL.

"Jadi macam mana semua kita sedia maklum, ECRL kita lebih suka jajaran selatan yang Kerajaan Persekutuan sekarang sangat bertegas dengan jajaran (utara).

"Saya fikir kita kena buat keputusan. Janji saya kepada perdana menteri menjelang akhir tahun ini kita akan buat (keputusan mengenai) jajaran semula.

"Kalau tidak jadi kita tak jadi keluarkanlah untuk kawasan laluan jalan keretapi untuk ECRL di kawasan tersebut.

"Sebab dia melibatkan banyak juga walaupun dia panjang begitu, hampir 1,000 ekar juga," katanya.

Dua bulan lalu, Amirudin mengumumkan sebahagian daripada hutan yang dipotong akan diwartakan semula sebagai hutan simpan dan rancangan awal untuk membangunkan hutan itu telah dibatalkan.

Pada masa itu, dia tidak menetapkan tempoh masa atau berapa banyak kawasan hutan itu akan diwartakan semula.

Keputusan tersebut dibuat selepas penyahwartaan itu mencetuskan kritikan meluas termasuk daripada kumpulan alam sekitar, pentadbiran Putrajaya, ahli parlimen rentas politik dan malahan PKR, parti yang dianggotai Amirudin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS