Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
11.11.99 - Mahathir beri kami 9 hari untuk lancar Malaysiakini

11.11.99 - Sebahagian besar masyarakat ketika itu masih menyambut Deepavali, - namun bukan buat perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang tentunya tidak bersantai sambil mengunyah muruku.

Hanya tiga hari selepas perayaan cahaya, Mahathir membubarkan Parlimen, membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-10.

Ramai yang tidak menjangkakan tindakannya untuk mengadakan pilihan raya dalam ruang yang sempit antara Deepavali dan Krismas, lebih-lebih lagi dia baru sahaja memecat timbalannya Anwar Ibrahim, dan sedang bergelut dengan Krisis Ekonomi Asia.

Ini ditambah pula dengan bajet kerajaan persekutuan yang masih belum diluluskan, manakala habuan pilihan raya juga belum dinikmati oleh rakyat.

Jangkaan bahawa kami mempunyai sekurang-kurang enam bulan lagi membuat persiapan sebelum Parlimen dibubarkan ternyata meleset. Malaysiakini ketika itu baru sahaja menyewa sebuah rumah kedai Petaling Jaya, dan mempunyai hanya tiga wartawan yang masih dalam latihan serta seorang pereka web. Laman web Malaysiakini ketika itu kelihatan seperti ini.

Pada peringkat awal, saya sering menunggang kapcai dan berjumpa untuk berbincang dengan Steven Gan. Jelas sekali, kami belum bersedia, jadi adakah kami akan melepaskan peluang untuk melaporkan pilihan raya? Atau mungkin kami boleh menulis beberapa laporan dan berkongsinya melalui e-mel, dan membina senarai mel?

Di sebalik perbincangan, perancangan dan mengumpul dana untuk Malaysiakini selama lebih setahun, sebenarnya pelancaran laman web itu membuatkan saya begitu gementar.

Steven lebih optimistik. Dia berpendapat pilihan raya adalah peluang yang terlalu baik untuk dilepaskan. Mampukah kami menyiapkan pejabat dan laman web tepat pada waktunya? Bolehkah kami merekrut beberapa sukarelawan? Adakah rakan-rakan kami akan membantu? Akhirnya, kami memutuskan untuk memberikan yang terbaik.

Beberapa hari kemudian, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 20 November sebagai hari penamaan calon, dan 29 November sebagai hari mengundi - menjadikannya kempen pilihan raya terpendek dalam sejarah.

Kami cuma mempunyai beberapa hari untuk membina laman web dan menyediakan pejabat. Saya pula baru belajar cara membina laman web menggunakan perisian HTML Frontpage Microsoft yang menggunakan Windows 95. Dengan kerjasama bersama Steven dan pereka web, kami berjaya mencipta sesuatu bersama-sama.

Pada hari penamaan calon, 20 November, wartawan kami dan Steven menulis beberapa laporan berita. Dengan menggunakan modem dail 56k, kami memuat naik beberapa laporan. Dalam beberapa minit itu, tanpa sebarang keriuhan, mahupun sambutan, Malaysiakini dilahirkan!

Kami sebenarnya tidak menyedari perjalanan yang telah kami rintis dan akan tempuhi itu. Kami tidak pernah menyimpan halaman depan, tetapi terima kasih kepada arkib internet, ini adalah wajah Malaysiakini pada 28 November 1999.

Ia tidak mengambil masa yang lama untuk Malaysiakini mendapatkan scoop pertama. Kami melaporkan bahawa akhbar Cina Sin Chew Jit Poh telah menggantikan gambar Anwar dengan Abdullah Ahmad Badawi dalam sekeping foto bersama, dalam usaha BN untuk mencerminkan kepimpinan mereka ketika itu.

Akhbar itu pada mulanya mempertahankan tindakan mereka, dengan hujah bahawa foto berkenaan menggambarkan kepimpinan semasa. Bagaimanapun, ketua pengarang akhbar berbahasa Cina itu kemudiannya memohon maaf atas pindaan terseut dan menyifatkannya sebagai satu kesilapan besar.

Malaysiakini terus membuat laporan demi laporan mengenai pilihan raya, dengan memaparkan tanda-tanda adalah jelas bahawa parti Melayu Umno kini berpecah. Pada malam pilihan raya, 29 November, media arus perdana yang dikawal kerajaan menangguhkan melaporkan keputusan sehingga Mahathir selesa kembali berkuasa.

Pembaca beralih kepada Malaysiakini, apabila kami mengumumkan bahawa PAS adalah mendapat manfaat utama hasil Reformasi, dengan menawan Kelantan dan Terengganu, dengan PKR juga mempamerkan prestasi yang baik.

Bagaimanapun, pengundi bukan Melayu menyokong Mahathir dan BN, sehingga menyaksikan kekalahan mengejut tokoh-tokoh utama mereka seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh. 

Sejak tarikh keramat itu, rakyat Malaysia beralih kepada Malaysiakini untuk keputusan pilihan raya .

Sabtu, 20 November ini adalah ulang tahun ke-22 Malaysiakini.

Ikuti kami minggu depan untuk lebih banyak kisah tentang Malaysiakini, dan mungkin kami akan sajikan anda dengan  beberapa kejutan!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS