Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perubahan iklim: PBB sambut baik deklarasi kerjasama China-AS
Diterbitkan:  Nov 11, 2021 11:58 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

GLOBAL | Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Rabu menyambut baik deklarasi bersama China-AS mengenai usaha meningkatkan tindakan berkaitan iklim di Persidangan Glasgow.

"Saya mengalu-alukan perjanjian hari ini antara China dan Amerika Syarikat untuk bekerjasama bagi mengambil tindakan #ClimateAction dengan penuh iltizam dalam dekad ini," lapor Agensi Berita Xinhua memetik ciapan Guterres di Tweeter.

"Menangani krisis iklim memerlukan kerjasama dan perpaduan antarabangsa, dan ini adalah langkah penting di landasan yang betul."

China dan AS pada Rabu mengeluarkan Deklarasi Bersama Glasgow China-AS mengenai Meningkatkan Tindakan Iklim pada 2020-an dalam sesi Konvensyen Kerangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim pada Persidangan Perubahan Iklim PBB Sesi ke-26 (COP26).

Kedua-dua pihak berikrar untuk terus bekerjasama dan turut serta dengan semua pihak untuk mengukuhkan pelaksanaan Perjanjian Paris.

Kenyataan itu menyebut mereka bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja untuk meningkatkan tindakan iklim pada 2020an yang bertujuan menggalakkan kerjasama antara kedua-dua negara dan proses pelbagai hala.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS