Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemeriksaan haid: KPM perlu perjelas hukuman terhadap pelaku - Awam
Diterbitkan:  Nov 11, 2021 11:03 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

Persatuan Tindakan Semua Wanita (Awam) menyambut baik pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung larangan terhadap amalan pemeriksaan haid di semua institusi pendidikannya di seluruh negara.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata terdapat keperluan untuk arahan yang lebih jelas mengenai mekanisme pelaporan, tindakan yang diambil terhadap pelaku dan mangsa yang terselamat.

“Semua jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah digesa melakukan pemeriksaan berterusan di institusi pendidikan kementerian dan maklumkan tindakan serius akan diambil segera terhadap mana-mana institusi pendidikan yang menjalankan pemeriksaan haid secara mengejut.

"Pekeliling ini tidak menyatakan jenis penalti dan tindakan pemulihan yang akan diambil terhadap pihak terbabit, sama ada menjalankan pemeriksaan haid atau mengarahkan orang lain (terutama pelajar) berbuat demikian," kata Awam pada satu kenyataan.

Malaysiakini pada 8 November lalu melaporkan sumber KPM mengesahkan pekeliling kepada semua ketua jabatan pendidikan negeri yang memberi penekanan bahawa amalan pemeriksaan haid adalah dilarang.

"KPM memandang serius perkara ini dan menegaskan perkara ini tidak sepatutnya berlaku," kata pekeliling bertarikh 2 Nov 2021 itu.

Usaha Malaysiakini untuk mengesahkan dokumen itu dengan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin dan kakitangannya tidak berjaya.

Pun begitu sumber daripada Bahagian Dasar Kementerian memberitahu Malaysiakini bahawa pekeliling berkenaan adalah sah.

Bagaimana pula institusi selain KPM?

Mengulas lanjut, Awam berkata untuk memastikan pemeriksaan haid ini ditangani dengan berkesan, mesti ada garis panduan yang jelas dan telus mengenai perkara berikut:

  • Mekanisme pelaporan yang tersedia kepada mangsa dan pemberi maklumat
  • Proses siasatan yang akan dijalankan kemudian
  • Saluran penyelesaian seperti kaunseling.

Kata Awam, ini penting dan untuk melaksanakannya KPM hanya perlu mencontohi carta alir terperinci yang menggariskan prosedur pengendalian kes rogol dan kehamilan remaja, yang boleh didapati dalam garis panduan pengurusan kes gangguan seksual dalam kalangan pelajar 2011.

"Taklimat seterusnya hendaklah dijalankan dengan dan dalam semua jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah secara berkala untuk mengukuhkan kesedaran institusi mengenai garis panduan ini," kata Awam.

Selain itu, Awam juga turut mempersoalkan walaupun pekeliling itu akan digunakan untuk sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan, namun terdapat banyak institusi pendidikan yang berada di bawah bidang kuasa jabatan agama negeri dan kerajaan seperti sekolah agama, kolej Mara di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta sekolah swasta.

"Kementerian Pendidikan harus melibatkan diri dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan ini dalam memastikan langkah dan arahan yang perlu untuk menghentikan pemeriksaan mengejut dilaksanakan," tambah Awam.

Terdahulu, Sisters In Islam (SIS) juga mempersoalkan sama ada pekeliling Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengenai larangan pemeriksaan mengejut di sekolah akan terpakai kepada institusi lain di luar bidang kuasanya.

Awam mengingatkan kementerian bahawa pemeriksaan mengejut adalah sebahagian daripada budaya gangguan seksual yang berakar umbi dalam institusi pendidikan - budaya yang diperkukuh oleh kurangnya rasa hormat terhadap sempadan fizikal, persetujuan dan maruah manusia.

Surat pekeliling dikeluarkan susulan lawatan Radzi ke Kolej Vokasional ERT di Setapak, Kuala Lumpur berikutan dakwaan pemeriksaan mengejut telah berlaku.

Seorang sumber mendedahkan, kira-kira 30 remaja perempuan berusia antara 18 dan 19 tahun telah dikumpul sekitar jam 7.50 malam pada 18 Okt, diberi putik kapas untuk "membuktikan" mereka sedang haid.

Pelbagai kumpulan dan tokoh masyarakat - termasuk Persatuan Tindakan Semua Wanita (Awam), Azalina Othman Said, Rafidah Aziz, Anwar Ibrahim, Hannah Yeoh, Teo Nie Ching, Kasthuri Patto, Fadhlina Sidek dan Maszlee Malik - turut menggesa pihak kementerian mengambil tindakan terhadap perkara itu sejak kejadian pertama kali dilaporkan oleh Malaysiakini pada April.

Pada Jun lalu, Radzi berkata Kementerian Pendidikan sedang dalam peringkat akhir membentuk jawatankuasa bebas untuk meneliti prosedur sedia ada bagi menangani aduan mengenai amalan pemeriksaan mengejut di sekolah, serta perkara lain yang berkaitan.

Butiran penting mengenai jawatankuasa siasatan itu masih belum didedahkan kepada umum. 

Malaysiakini telah menghantar lebih 10 pertanyaan berhubung perkara ini, namun tiada sebarang maklum balas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS