Video yang tular di media sosial berkaitan penemuan cacing “Helikopter” atau “Helicobacter” pada buah pisang di Malaysia adalah tidak benar serta mengandungi informasi yang tidak sahih dan diragui, menurut Jabatan Pertanian.
Ketua Pengarah Pertanian Datuk Zahimi Hassan berkata Helicobacter merupakan sejenis bakteria dan bukan daripada kumpulan serangga atau ulat serangga seperti yang ditularkan.
Jelas Zahimi, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan atau laporan mengenai serangan cacing berkenaan pada tanaman pisang di negara ini.
"Pengguna tidak perlu bimbang dan ragu-ragu memandangkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Pertanian dengan kerjasama agensi berkaitan sentiasa memastikan hasil dan produk-produk pertanian daripada sumber dalam dan luar negara adalah selamat untuk dimakan.
“Ia turut dipastikan bebas daripada perosak dan penyakit yang mendatangkan kemudaratan kepada pengguna dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata berdasarkan kenyataan daripada Abu Dhabi Agriculture and Food Safety Authority melalui ciapan di Twitter bertarikh 1 Nov lepas, video yang tular didapati berasal daripada sumber yang tidak sahih dan adalah di luar kebiasaan untuk cacing melengkapkan kitaran hidupnya di dalam buah pisang sehingga saiz yang ditunjukkan di dalam video tersebut.
- Bernama