Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosmah mohon hakim tarik diri dengar kes pengubahan wang haram, elak cukai

Rosmah Mansor memohon mahkamah supaya Hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai RM7 juta terhadap istei bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Menerusi permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 2 Nov, Rosmah mendakwa terdapat risiko hakim bersikap prejudis dan berat sebelah kepadanya.

Peguambelanya, Geethan Ram Vincent, memberitahu Malaysiakini baru-baru ini mengenai pemfailan mahkamah, menjelaskan alasan utama agar hakim menarik balik dikatakan kerana konflik kepentingan.

Geethan mendakwa perkara itu berlaku apabila Zaini membenarkan pihak pendakwaan mengemukakan peryataan beramaran SPRM dalam kes rasuah Rosmah yang berasingan berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Pernyataan beramaran itu berhubung kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai RM7,097,750.

Zaini bukan sahaja mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah, yang masih belum dibicarakan, tetapi juga perbicaraan kes rasuahnya yang berterusan dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Pada 21 Okt, semasa peringkat pembelaan perbicaraan rasuah projek solar Rosmah, hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibilitinya dengan merujuk kepada pernyataan amaran yang diberikannya kepada SPRM semasa siasatan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya.

Terdahulu, pada 18 Feb tahun ini, Zaini mengarahkan Rosmah membela diri dalam kes rasuah projek solar itu.

Berkenaan dengan permohonan supaya hakim itu menarik diri, Geethan berhujah Zaini yang sedang mendengar kes perbicaraan rasuah projek solar Rosmah, telah melihat pernyataan beramarannya kepada SPRM sebelum Zaini mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai tertuduh.

“Terdapat kemungkinan prasangka dan berat sebelah apabila beliau (Zaini) membenarkan pihak pendakwaan untuk membangkitkan pernyataan beramaran itu.

"Apabila dia membenarkan ini, dia kemudiannya telah melihat pernyataan amarannya (Rosmah)," dakwa Geethan.

Peguam itu berhujah perkara ini membawa risiko hakim tidak dapat berlaku adil apabila mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah.

Menurut salinan permohonan menarik diri yang dilihat oleh Malaysiakini, Rosmah memohon perintah supaya Zaini menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya.

Rosmah juga memohon perintah supaya hakim Mahkamah Tinggi yang berbeza untuk mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya.

"Yang Arif Tuan Mohamed Zaini juga di dalam kes solar telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memeriksa balas pemohon menggunakan pernyataan beramaran yang dirakam berhubung siasatan kes ini (Amla).

"Keterangan dan eksibit-eksibit telah dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes solar di mana ianya secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi Yang Arif Tuan Mohamed Zaini sekiranya Yang Arif Tuan Mohamed Zaini mendengar kes ini.

"Hak pemohon untuk mendapatkan suatu perbicaraan yang adil adalah dilindungi sebagai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

"Hak ini akan dipejudiskan secara teruk dan menjadi sia-sia sekiranya Yang Arif Tuan Mohamed Zaini mendengar perbicaraan kes ini,” dakwa Rosmah dalam pemfailannya di mahkamah.

Sementara itu, menurut Geethan, permohonan supaya hakim menarik diri iyu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pagi ini.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Isteri bekas perdana menteri didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS