Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
BN mahu pinda perlembagaan untuk masukkan 5 Adun lantikan
Diterbitkan:  Nov 10, 2021 2:33 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

PRN MELAKA | BN hari ini membentangkan manifesto mereka dengan pelbagai tawaran termasuk meminda perlembagaan negeri itu untuk membolehkan lima wakil rakyat lantikan dibawa ke DUN.

Mengumumkan hal itu Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata dengan adanya tambahan lima Adun lantikan itu kestabilan kerajaan negeri boleh wujudkan.

Katanya daripada lima Adun yang dilantik itu, ia akan turut membabitkan wakil belia dan tokoh yang tidak berkaitan dengan politik.

Bagaimanapun kata Mohamad untuk membolehkan langkah itu diambil BN perlu memenangi dua per tiga kerusi DUN Melaka pada 20 Nov ini.

"Barulah kita boleh sama-sama meminda perlembagaan ini dan melaksanakannya," kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu di Ayer Keroh hari ini.

Kata Mohamad langkah meminda perlembagaan negeri itu juga menunjukkan kesungguhan dan keberanian BN mendengar pandangan daripada semua pihak.

Manifesto BN untuk PRN Melaka itu bertajuk "Kestabilan Demi Kemakmuran" dibahagikan kepada lima teras utama iaitu

1. Kestabilan politik

2. Pertumbuhan ekonomi

3. Pentadbiran yang cekap

4. Masyarakat yang bersatu padu

5. Pembangunan mampan dan perkongsian kemakmuran

Menurut manifesto itu lagi BN juga berjanji untuk memastikan semua Adun termasuk pembangkang diberikan dana yang sama bagi menangani isu kestabilan politik.

Bagaimanapun hal itu ada dimasukkan dalam teks ucapan Mohamad namun tidak dibaca semasa dia menyampaikan ucapan tersebut.

Mengenai pertumbuhan ekonomi, ucapan Mohamad tertumpu kepada usaha mahu menyokong industri pelancongan Melaka, petani dan perniagaan kecil.

Selesaikan isu banjir

Dalam edaran kepada akhbar mengenai manifesto tersebut imej Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-wez) ditampilkan dengan ketara dan disifatkan sebagai kunci ke arah pertumbuhan ekonomi negeri.

M-wez ialah projek hartanah besar-besaran di atas tambakan pantai di kaawasan bandar lama Melaka.

BN juga berikrar untuk memastikan pantai di kawasan projek itu dibuka kepada orang ramai dalam tempoh 100 hari selepas mereka memenangi pilihan raya dan memastikan kelestarian alam sekitar.

Mengenai usaha menambah baik pentadbiran kerajaan, Mohamad berkata BN berikrar untuk menubuhkan Parlimen Belia untuk Melaka bagi mendapatkan pandangan golongan muda.

Pengumuman itu menyaksikan BN berikrar untuk meminda Undang-undang Tanah Melaka 1966 dalam tempoh setahun bagi memudahkan urusan jual beli tanah.

Mengenai masyarakat yang bersatu padu, BN berjanji untuk menubuhkan pusat latihan kemahiran, skim perumahan untuk pengantin baru dan melibatkan belia di daerah atau kerajaan tempatan membuat keputusan.

BN turut berikrar untuk menubuhkan pusat untuk menggalakkan belia terlibat dalam bidang seni dan menubuhkan e-sukan atau pusat sukan ekstrem.

BN berhasrat untuk "mengekalkan" dasarnya yang mempunyai 30 peratus wanita dalam penggubalan dasar. Tetapi, tiada butiran lanjut diberikan berhubung ikrar tersebut.

Mengenai pembangunan mampan dan kemakmuran bersama, BN berjanji untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di kawasan luar bandar dan memastikan semua pemaju perumahan membina kemudahan keagamaan dan rekreasi dalam rancangan masing-masing.

Turut disentuh, BN berikrar akan menyelesaikan gangguan elektrik dan air di seluruh negeri dalam tempoh setahun.

Mereka juga berjanji untuk menyelesaikan banjir melalui lapan projek di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun.

Mengenai alam sekitar, BN berikrar untuk memastikan sungai-sungai di Melaka adalah yang paling bersih di negara ini dalam tempoh setahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS