Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak permohonan Adly cabar pembubaran DUN Melaka

Proses membuat keputusan untuk membubarkan DUN Melaka bukan perkara yang boleh dicabar di mahkamah, kata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Noorin Badaruddin berkata demikian ketika menolak permohonan bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari untuk kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN bulan lalu.

“Sekiranya sesuatu perkara didapati tidak wajar, proses membuat keputusan yang membawa kepada perkara yang tidak wajar itu tidak seharusnya wajar.

“Pembubaran DUN adalah subjek yang tidak boleh dijustifikasikan dan semakan kehakiman tidak boleh diberikan” katanya.

Pada 22 Okt lalu, Adly memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan pembubaran DUN.

Ia susulan tindakan empat Adun yang diketuai oleh wakil rakyat Umno Sungai Udang, Idris Haron, pada 4 Oktober lalu yang mengumumkan keputusan mereka untuk menarik balik sokongan kepada ketua menteri Melaka Sulaiman Md Ali,

Tiga yang lain ialah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Susulan itu, Sulaiman kehilangan majoriti dan Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam membuat keputusan untuk membubarkan DUN, membuka jalan untuk pilihan raya negeri pada 20 November.

Penamaan calon bagi pilihan raya negeri itu diadakan pada Isnin lalu manakala hari mengundi adalah pada 20 November. Adly bertanding di kerusi Bukit Katil atas tiket Pakatan Harapan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari hari ini gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 Nov.

Adly yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil dalam permohonan untuk memulakan semakan kehakiman, juga telah memohon pengisytiharan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 pada 4 Okt lepas, adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin ketika menolak permohonan Adly, memutuskan bahawa keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka, tidak boleh diadili.

Hakim Noorin dalam penghakiman ringkasnya berkata berpandukan Perkara 7 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, membenarkan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, setelah tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ADUN, untuk membuat keputusan memohon kepada responden keempat (Mohd Ali) bagi membubarkan DUN.

“Susulan permintaan responden pertama (Sulaiman), responden keempat (Mohd Ali) telah mempertimbangkan dan bersetuju dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 berkuat kuasa 4 Okt lepas, kerana beliau diberi kuasa untuk berbuat demikian mengikut Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri.

"Mahkamah ini mendapati bahawa sejak awal lagi tidak pernah ada nasihat yang diberikan oleh responden pertama kepada responden keempat untuk membubarkan Dewan. Hanya ada permintaan dan berdasarkan permintaan itu, responden keempat boleh mengambil langkah-langkah berdasarkan Perkara 7 (4) perlembagaan berkenaan untuk memperkenankan permintaan pembubaran tersebut.

"Responden keempat telah menggunakan kuasanya dengan betul di bawah Perkara 19 (2) perlembagaan. Ini adalah proses yang telah diambil oleh responden keempat," kata hakim Noorin.

Hakim seterusnya berkata bahawa pembubaran DUN adalah tidak boleh diadili dan diterima untuk semakan kehakiman.

"Perkara tersebut telah diselesaikan. Tiada merit untuk mengemukakan hujah lanjutan dan permohonan ini ditolak tanpa perintah berhubung kos," tambahnya.

Adly, 50, memfailkan permohonan itu dengan menamakan Sulaiman, Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Mohd Ali masing-masing sebagai responden pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Dalam permohonan itu, Adly memohon satu deklarasi bahawa tindakan responden pertama (Sulaiman) menasihati responden keempat (Mohd Ali) pada 4 Okt lepas untuk membubarkan DUN Melaka setelah tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti ADUN, telah melanggar undang-undang, terbatal serta tidak sah.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa adalah tidak munasabah dan tidak rasional bagi Sulaiman menasihati Mohd Ali supaya membubarkan DUN dalam keadaan pandemik COVID-19 atau fasa endemiknya di negara ini.

Adly juga memohon perintah certiorari agar writ pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya bertarikh 18 Okt untuk mengadakan pilihan raya negeri dibatalkan; selain kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli memberitahu pemberita bahawa beliau akan menunggu arahan selanjutnya daripada anak guamnya untuk tindakan seterusnya.

Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy dan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Jabatan Peguam Negara.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS