Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KWSP sepatutnya diguna sebagai pilihan akhir - Nurul Izzah
Diterbitkan:  Nov 9, 2021 11:17 PM
Dikemaskini: 3:17 PM

Isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disentuh oleh dua Ahli Parlimen hari ini yang antaranya menyarankan kepada kerajaan supaya simpanan KWSP digunakan sebagai pilihan terakhir bagi membantu rakyat.

Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) berkata kerajaan perlu menyediakan dana kerana KWSP adalah hak dan simpanan rakyat.

“Sejumlah 70 peratus daripada keluarga B40 serta 50 peratus daripada M40 yang mengeluarkan simpanan sebanyak RM5,000 ke bawah, dan (mereka) menyatakan pengeluaran itu hanya cukup untuk membantu selama tiga bulan sahaja.

“Jumlah pengeluaran ini sama dengan 20 peratus daripada kesemua stimulus kerajaan yang terkini,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula mencadangkan supaya KWSP melaburkan wang simpanan pencarum yang kurang daripada RM10,000 menerusi akaun satu ke dalam dana pelaburan ‘mutual’ berdasarkan persetujuan antara kedua-dua pihak.

“Saya juga mencadangkan mana-mana pencarum yang mempunyai (simpanan) lebih daripada RM100,000 dalam akaun satu diberikan kemudahan pengeluaran ‘one-off’ sebanyak RM10,000 dan ke atas.

“Ini penting dalam membantu keluarga Malaysia yang sangat memerlukan terutama pencarum M40,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS