Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Calon DAP bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka untuk kerusi Kota Laksamana, Low Chee Leong hari ini disoal siasat polis kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Selepas memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Melaka, Low mengadakan sidang media di pusat gerakan pilihan raya PH bagi Kota Laksamana untuk menafikan dakwaan itu.

Sebaliknya, dua menunjukkan gambar rombongan BN pada hari pencalonan di Tanjung Bidara semalam.

“Saya ingin menegaskan bahawa tiada SOP yang dilanggar semalam, oleh saya atau pihak saya.

"Saya ingin menjelaskan bahawa semasa hari penamaan calon, saya telah hadir bersama pencadang dan penyokong, tidak seperti yang dilakukan oleh pihak lawan," katanya pada sidang media sambil mengangkat gambar.

Dia berkata polis mempersoalkan kehadiran penyokongnya di luar pusat penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan telah melarang sebarang bentuk perhimpunan kerana wabak Covid-19.

Low disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan yang membabitkan perbuatan cuai yang berkemungkinan menyebarkan sebarang penyakit berbahaya yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia juga disiasat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Low menegaskan bahawa dia sentiasa mematuhi SOP dan sebaliknya menyorot perhimpunan BN di Tanjung Bidara.

Semalam, Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh hadir di pusat penamaan calon Tanjung Bidara bersama kira-kira 20 orang, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Polis kemudian meminta penyokong Ab Rauf bersurai.

Kempen 12 hari untuk pilihan raya Melaka bermula semalam.

Bagaimanapun, semua perhimpunan, kempen dari pintu ke pintu atau secara bersemuka telah dilarang kerana wabak Covid-19 yang belum reda.

Sekatan itu jauh lebih ketat berbanding pilihan raya di Sabah tahun lepas, yang mencetuskan gelombang baru jangkitan Covid-19 yang merebak ke seluruh negara.

Lebih 29,000 nyawa di Malaysia telah terkorban akibat Covid-19.

Low, yang merupakan penyandang DUN Kota Laksamana, akan berdepan calon BN Benjamin Low Chin Hong dan Fong Khai Ling dari PN.

Di Tanjung Bidara, Ab Rauf yang mewakili BN akan berdepan calon PN, Mas Ermieyati Samsudin dan Zainal Hassan dari PH.

Ab Rauf adalah muka baru bagi kerusi itu yang merupakan kubu kuat BN.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS