Bekas pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman bakal dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dalam tempoh terdekat.
Sumber yang dekat dengan pemimpin tertinggi Umno itu mengesahkan mengenai pelantikan berkenaan dan berkata pengumuman rasmi akan dibuat oleh kerajaan.
Tajuddin yang juga ahli Parlimen Pasir Salak dijangka akan memulakan tugas sebagai duta besar awal tahun hadapan.
"Tunggu pengumuman rasmi," kata sumber itu kepada Malaysiakini, hari ini.
Spekulasi pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertiup ketika dia turut serta dalam lawatan kerja Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob ke Jakarta, bermula hari ini.
Portal berita Indonesia Antaranews bulan lalu turut melaporkan bahawa kerajaan Malaysia dijangka akan melantik Tajuddin sebagai duta baru.
Antaranews memetik sumber yang juga setiausaha politik seorang menteri, namun dia mengatakan bahawa kesahihannya perlu dipastikan terlebih dulu.
Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta ketika dihubungi mengatakan bahawa ia masih lagi khabar angin dan pejabat di Kementerian Luar Negeri Malaysia enggan memberi sebarang komen.
"Tidak ada komentar. Terima kasih," kata Kementerian Luar Negeri Malaysia.
Sementara itu, sumber kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa perdana menteri telah menamakan Tajuddin sebagai duta baru ke Indonesia.
“Pada asasnya perdana menteri telah mengemukakan nama Tajuddin, dan ia hampir pasti melainkan Yang di-Pertuan Agong atau (Presiden Indonesia) Jokowi menolaknya.
"Pengumuman mengenai akan dibuat beberapa minggu dari sekarang," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Pelantikan duta hanya akan dibuat secara rasmi dalam upacara penyerahan Watikah Tauliah Yang di-Pertuan Agong.
Tajuddin bakal menggantikan Zainal Abidin Bakar yang menyandang jawatan itu pada 21 Mac 2019.