Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lapan calon PAS di Melaka mampu buat kejutan - Takiyuddin
Diterbitkan:  Nov 9, 2021 2:46 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

PRN MELAKA l Lapan wakil PAS yang dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah yang mampu membuat kejutan dan menarik pengundi muda, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata kesemua calon PAS itu datang daripada pelbagai latar belakang, namun mempunyai ‘satu sasaran’ iaitu membawa kemenangan kepada parti di bawah ‘payung’ Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lepas mengumumkan gabungan itu akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, dengan 15 kerusi diwakili Bersatu, PAS (lapan) dan Gerakan (lima).

Lapan kerusi yang ditandingi PAS adalah Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

“Saya optimis mereka boleh bantu PAS untuk capai kemenangan kalau tidak 100 peratus pun, sekurang-kurangnya dapat tarik pengundi muda dan buat kejutan,” kata Takiyuddin kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan ‘Product Safety Award’ 2021 di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, susulan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS