Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja gig ‘bukan pekerja’: Bekas senator selar kerajaan
Diterbitkan:  Nov 9, 2021 1:26 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif dengan menggubal dasar bagi mengiktiraf pekerja ekonomi gig segera, kata bekas ahli parlimen dan senator PKR, Yusmadi Yusoff.

Katanya, kerajaan perlu berfikir selari dengan peredaran zaman dengan memberi perhatian khusus kepada kumpulan berkenaan yang juga pemangkin ekonomi negara.

"Kenyataan timbalan menteri sumber manusia baru-baru ini amat membimbangkan apabila kerajaan gagal mengambil kira pekerja gig seperti penghantar makanan, pemandu e-hailing sebagai 'pekerja' yang mana undang-undang Malaysia seperti gaji minimum dan perlindungan yang lain adalah tidak terpakai kepada mereka.

"Tambahan lagi, Awang Hashim juga berkata mereka ini ditakrif sebagai cuma bekerja sendiri atau sambilan sahaja dan bukanlah sebagai pekerja tetap.

"Kenyataan ini secara langsung menunjukkan cara berfikir kerajaan pada hari ini yang tidak selari dengan peredaran zaman, serta bercanggah dengan fungsi parlimen untuk membuat dasar baru mengikut kepada peredaran zaman, dan memberi perhatian yang sewajarnya kepada golongan pekerja gig ini yang sebenarnya adalah pemangkin, peneraju dan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.

Yusmadi Yusoff

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim semalam memberitahu Dewan Rakyat bahawa pekerja ekonomi gig tidak termasuk bawah definisi pekerja bawah Ordinan Buruh.

Katanya, tiada rekod atau pemfailan kes buruh berkaitan golongan pekerja gig yang boleh digunakan sebagai penandaarasan yang membolehkan pekerja ekonomi gig menikmati manfaat seperti pekerja bawah definisi undang-undang buruh Malaysia.

“Sistem pekerjaan gig dan contract for service yang dipersetujui menjadikan pekerja ekonomi gig tidak tertakluk di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020,” katanya.

Sementara itu, Yusmadi yang juga pengamal undang-undang memberi contoh kes di Mahkamah Agung United Kingdom yang mengiktiraf pekerja gig sebagai "pekerja".

Ia membabitkan seorang pemandu Uber yang berjuang mendapatkan hak sebagai pekerja dengan syarikat Uber.

"Mahkamah Agung telah secara sebulat suara memutuskan bahawa pemandu Uber (atau pekerja gig secara amnya) berhak diklasifikasikan sebagai 'pekerja'," kata peguam itu.

Jelasnya lagi, mahkamah mengambil kira elemen subordinasi dan pergantungan pekerja gig tidak boleh diklasifikasi sebagai “bekerja sendiri” kerana mereka masih tertakluk kepada subordinasi dan pergantungan.

Selain itu elemen kawalan juga turut diambil kira dalam penghakiman itu, yang mana pekerja gig adalah terikat dengan kontrak pekerjaan dengan sesebuah syarikat dan dihalang daripada melakukan kerja-kerja dengan mana-mana syarikat lain.

/ends


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS