Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching memohon maaf atas kesilapan penggunaan bahasa ketika memuat naik bahan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ini selepas bekas timbalan menteri pendidikan itu dilihat memuat naik poster yang memaparkan ungkapan 'Lahabau Melaka, Jom Undi' pada profil Facebooknya.
Menulis di Facebook, Nie Ching mengakui dia tidak memahami maksud sebenar perkataan dalam loghat negeri Melaka itu.
"Saya cuma ingin berkempen melalui "frame" percuma yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut.
"Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati, memohon maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuatnaikkan bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa," katanya.
'Lahabau' adalah perkataan dalam loghat negeri Melaka, yang biasa dipertuturkan di kalangan penduduk negeri itu.
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 'lahabau' adalah kata makian yang bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap dan haprak.
Namun bagi kebanyakan penduduk Melaka, ungkapan itu tidak dianggap sebagai bahasa kasar.
Nie Ching berkata, bahan kempen itu disediakan dalam keadaan larangan ketat berkempen, di mana hampir kesemuanya dilaksanakan melalui media sosial.
"Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan, khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.
"Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial," katanya.
Sehubungan dengan itu, Nie Ching juga berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam memuatnaikkan bahan-bahan kempen di media sosial.
"Dengan menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka," katanya.