Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahami punca isu LGBT, bukan salahkan pengaruh Barat semata - Ti

Isu yang menyelubungi komuniti LGBT harus difahami melalui pendekatan sains dan psikologi, bukannya hanya meletakkan kesalahan kepada penyebaran "pengaruh Barat semata-mata," kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Ti Lian Ker.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang bertanyakan apakah langkah Kementerian Belia Ddan Sukan dalam menangani isu LGBT dan isu-isu keganasan lain membabitkan golongan belia di negara ini susulan pengaruh Barat yang semakin menular ketika ini.

"Menyentuh mengenai nilai-nilai barat, saya rasa budaya ini wujud di mana-mana kerana ia adalah nilai kemanusiaan atau kemasyarakatan.

“Perlulah kita memahami dan mengkaji, apakah punca masalah di sebaliknya dan bukannya menyalahkan kepada pengaruh Barat. Saya rasa kita perlu meneliti psikologi, fizikal dan sebagainya,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Pada hantaran Facebook kemudian, Ti yang juga naib presiden MCA berkata menuding jari kepada pengaruh barat semata-mata terhadap isu LGBT "tidak akan menyelesaikan masalah."

"Terdapat banyak aspek lain yang kita perlu lihat dan faham secara menyeluruh seperti psikologi, fizikal dan latar belakang atau masalah yang dihadapi," katanya lagi.

Nik Abduh sebelum ini berkata "nilai-nilai Ketimuran" semakin terhakis manakala "nilai songsang Barat" semakin "meresapi minda anak muda dan masyarakat.".

"Sebagaimana yang kita sedia maklum, dunia terbuka hari ini begitu menyaksikan pelbagai medium asing yang boleh mempengaruhi minda masyarakat terutama anak muda kita hari ini sama ada melalui media sosial atau filem-filem," katanya.

"Saya yakin bahawa tanpa campur tangan kjaan yang serius maka serangan ke atas akhlak dan budaya kita ini akan semakin serius. Soalan saya apakah langkah intervensi kementerian meneliti perkembangan yang saya maksudkan tersebut," tanya ahli parlimen Bachok itu.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS