Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerusi DUN Asahan saksikan pertandingan enam penjuru
Diterbitkan:  Nov 8, 2021 12:42 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan tiga calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Pertandingan enam penjuru di kerusi Asahan melibatkan Fairul Nizam Roslan calon BN, Danesh Basil (PN), Datuk Seri Idris Haron (PH) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Noor Salleh, Azmar Abdul Hamid dan Mohd Akhir Ayob.

Pegawai Pengurus (RO) Pusat Penamaan Calon DUN Asahan Luqmannulhakim Mohamad Idris membuat pengumuman tersebut di pusat penamaan calon Dewan Besar Kolej Komuniti Selandar pada 10.50 pagi selepas tamat tempoh penamaan calon pada pukul 10 pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kerusi Asahan disandang Abdul Ghafar Atan dari BN dengan majoriti 275 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS