Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG | 112 calon bertanding, sekurangnya 3 penjuru di semua kerusi

PRN Melaka bermula secara rasmi hari ini dengan proses penamaan calon bagi semua 28 kerusi yang ada sebelum pilihan raya diadakan pada 20 Nov ini.

Malaysiakini membawakan laporan secara langsung proses penamaan calon melalui wartawan yang bertugas di pelbagai pusat penamaan calon (PPC) Melaka:

LANGSUNG

1.00 tengah hari: Tamat liputan secara langsung Malaysiakini bagi hari penamaan calon PRN Melaka.

Dengan kempen bermula secara rasmi, Malaysiakini akan membawa perkembangan terkini PRN Melaka kepada pembaca.

Sokong usaha kami dengan melanggan di sini.

Wartawan kami di lapangan akan memberikan perkembangan dan analisis sepanjang kempen. Anda boleh membacanya di sini.

12.30 tengah hari, Ayer Keroh: SPR mengumumkan terdapat 112 orang calon yang akan bertanding dalam PRN Melaka kali ini.

Jumlah itu meningkat daripada 85 calon yang bertanding di peringkat DUN pada PRU 2018.

"Kita dapat lihat peningkatan," kata Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh yang membangkitkan trend pertembungan tiga hingga enam penjuru.

Secara keseluruhan, BN, PN dan PH masing-masing meletakkan 28 calon. Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pula meletakkan lima calon manakala Parti Perikatan India Muslim Nasional dengan seorang calon.

Bagi 22 orang lagi adalah calon bebas.

Menurut Abdul Ghani, semua DUN akan menyaksikan sekurang-kurangnya persaingan tiga calon.

Sebanyak 11 kerusi DUN akan direbut tiga calon, sembilan kerusi dengan empat calon, lima kerusi dengan lima calon dan tiga kerusi dengan enam calon.

Sebanyak 96 calon (86 peratus) adalah lelaki.

Pada masa sama, calon muda juga lebih ramai kali ini, dengan sembilan orang berusia antara 21 hingga 29 tahun dan 21 orang berusia 30 hingga 39 tahun.

Bagaimanapun, calon lebih berusia kekal menjadi majoriti. Terdapat 35 orang calon berusia 40 hingga 49 tahun dan 36 orang berusia 50 hingga 59 tahun.

Seramai 11 orang calon berusia 60 tahun ke atas.

Calon paling muda berusia 21 tahun manakala calon paling tua berusia 68 tahun.

.

Pengerusi SPR: Pesakit Covid-19 'biasanya' dilarang mengundi

12.15 tengah hari, Ayer Keroh: Pengerusi SPR Abdul Ghani Selleh berkata pesakit Covid-19 berkemungkinan tidak akan dibenarkan mengundi nanti.

"Mereka biasanya tak dibenarkan. Ini kerana Kementerian Kesihatan tidak akan benarkan mereka keluar hospital," katanya.

Bagi pengundi yang menunjukkan gejala Covid-19 tetapi belum mebuat ujian, dia berkata mereka akan mengundi di khemah khas.

Selepas itu, katanya lagi, pegawai Kementerian Kesihatan akan membuat ujian terhadap mereka.

 12.00 tengah hari: Calon PH, Zainal Hassan, tidak berasa bimbang apabila perlu berdepan dengan dua nama besar untuk cuba memenangi kerusi Tanjung Bidara.

Selain dikenali sebagai kubu kuat BN, Tanjung Bidara juga menyaksikan Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh, diturunkan sebagai wakil BN, manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mas Ermieyati Samsudin bertanding bagi pihak PN.

"Kita tetap bersikap tenang dan terus menumpukan usaha kepada kempen-kempen pilihan raya bagi memenangi hati rakyat agar mengundi PH.

"Soal dua lagi calon yang bertanding mempunyai nama besar tak menjadi penghalang memandangkan kami juga pernah berkhidmat untuk masyarakat Tanjung Bidara sepanjang tempoh menjadi kerajaan di negeri ini," katanya.

Tambah Zainal lagi, selepas PH dijatuhkan tahun lalu gabungan berkenaan terus bekerja membantu masyarakat sehingga kini.

"Niat kami memang untuk membantu rakyat, bukan hanya untuk menghadapi pilihan raya," katanya.

11.25 pagi, Bemban: Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew mengakui dia berdepan cabaran yang amat sukar untuk mengekalkan kerusi Bemban menjadi milik PH. Pada PRU lalu dia bertanding di Bandar Hilir.

Katanya ada satu sebab mengapa dia meninggalkan kawasan lama untuk bertanding di Bemban.

"Kami (PH) mahu menjadi kerajaan justeru kami perlu memenangi Bemban," katanya.

Pada 2018 Tek memenangi kerusi Bandar Hilir dengan selesa apabila mendapat 83.05 peratus undi, manakala di Bemban - dengan pertembungan tiga penjuru - calon DAP memenanginya dengan mendapat 45.4 peratus undi.

11.10 pagi, PPC Asahan: Proses penamaan calon dan semakan borang selesai. Pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan itu, Luqmanulhakim Mohamad Idris mengumumkan tiada sebarang bantahan dibuat sepanjang tempoh waktu yang disediakan.

Enam calon bertanding termasuk tiga bebas.

Bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron, adalah calon yang menjadi perhatian ramai di sini apabila dia kini bertanding sebagai wakil PH.

Ditanya mengenai calon ketua menteri sama ada dia akan menyokong Pengerusi PH Melaka Adly Zahari, sebagai ketua menteri baru jika PH menang, dia menegaskan apa yang penting sekarang ialah menawarkan yang terbaik kepada rakyat Melaka.

Katanya, ia hanya boleh dicapai dengan kerjasama semua pihak dan memenangi sekurang-kurangnya 15 daripada 28 kerusi DUN.

"Kalau seorang, tak jadi," katanya.

11 pagi, PRC Lendu & Teluk Mas: Penyandang kerusi ini, Sulaiman Md Ali, akan mewakili BN dan berdepan dengan dua pencabar, masing-masing Mohd Asri Ibrahim dari PKR-PH dan Abdullah Mahadi (Bersatu-PN).

Senarai itu diumum pengurus pilihan raya selepas proses penamaan calon ditutup dan semakan pencalonan berakhir.

Sementara itu di Teluk Mas berlaku pertembungan empat penjuru dengan Pengerusi Bersatu Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen diletakkan di situ oleh PN.

Tiga calon lain ialah Rahman(Umno-BN), Ashraf Mukhlis Minghat (Amanah-PH) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (bebas).

10.55 pagi, PRC Bemban: Lima calon akan berentap untuk merebut kerusi Bemban pada 20 Nov ini.

Berdasarkan senarai rasmi yang diumumkan SPR, calon yang bertanding ialah:

  • Mohd Yadzil Yaakub (Bersatu-PN)
  • Azmi Kamis (bebas, menggunakan logo kereta)
  • Ng Choon koon (bebas, menggunakan logo pokok)
  • Tey Kok Kiew (DAP-PH)
  • Koh Chin Han (MCA-BN)

10.45 pagi: Biasanya selepas penamaan selesai, seseorang calon akan bercakap kepada media namun kelaziman itu tidak berlaku lagi kerana garis panduan yang dibuat SPR serta KKM.

Beberapa calon sudah memaklumkan mereka akan meninggalkan PPC berkaitan selepas pengumuman rasmi selesai dan mengadakan sidang media di lokasi lain yang ditetapkan.

10.35 pagi, PPC Tanjung Bidara: SPR mengesahkan pertembungan tiga penjuru di kerusi DUN Tanjung Bidara.

Pegawai pilihan raya mengumumkan calon yang akan bertanding di situ adalah:

Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu - PN)

Zainal Hassan (PKR-PH)

Ab Rauf Yusof (Umno-BN)

Sementara itu, penyandang DUN Tanjung Bidara, Md Rawi Mahmud - walaupun digugurkan dan diganti dengan Ab Rauf - turut hadir sebagai penyokong.

Md Rawi berkata, dia yakin BN akan mengekalkan kemenangan walaupun Bersatu mencalonkan seorang timbalan menteri.

"Tanjong Bidara sentiasa jadi kawasan BN.

"BN menang dengan 58 peratus undi pada pilihan raya lalu," katanya lagi.

Mas Ermieyati

10.30 pagi, PPC Ayer Keroh: Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dijangka mengadakan sidang media bagi mengumumkan perincian berkenaan penamaan calon dalam masa 30 minit lagi.

Seorang pegawai SPR mengesahkan Abdul Ghani juga akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen di tengah wabak Covid-19.

Beberapa pihak telah dikenakan denda ekoran cuba berkempen sebelum kempen bermula secara rasmi hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengenakan larangan bagi kegiatan kempen oleh parti politik.

Sidang media SPR selepas ini akan menjadi perhatian terutama berkenaan jika ada kelonggaran diberikan ketika tempoh kempen sebelum hari mengundi.

Abdul Ghani Salleh

10.10 pagi, PPC Tanjung Bidara: Timbalan Ketua Polis Melaka Razali Abu Samah berkata proses penamaan calon di semua 28 pusat yang dibuka berlangsung dengan baik.

"Setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan. Semuanya berjalan lancar," katanya.

Menurut Razali di beberapa lokasi ada penyokong yang datang mengiringi calon namun mereka tidak memasuki kawasan PPC dan bersurai selepas itu.

Sementara itu seorang pegawai Kementerian Kesihatan meminta petugas media yang berlindung di bawah beberapa pokok di depan PPC Tanjung Bidara agar mematuhi SOP penjarakan fizikal.

Pegawai terbabit bersama polis juga memaklumkan tiada sidang media dibenarkan dibuat di luar PPC sebagai langkah berjaga-jaga mengelakkan penularan Covid-19.

10 pagi: Proses penamaan calon berakhir. Kini SPR akan meneliti semua borang yang diterima bagi memastikan semuanya dibuat mengikut peraturan.

Senarai rasmi calon bagi semua 28 kerusi dijangka diumumkan tidak lama lagi.

9.50 pagi, PPC Pengkalan Batu: "Jangan sebut Pakatan Harapan," kata bekas exco Melaka di bawah dua kerajaan berbeza, Norhizam Hassan Baktee, yang mengemukakan borang untuk menjadi calon bebas.

Dia sebelum itu ditanya sama ada berasa kecil hati selepas namanya tidak dicalonkan oleh PH walaupun menjadi satu daripada empat watak yang membawa hilangnya sokongan majoriti pada Sulaiman Md Ali selaku ketua menteri Melaka.

Untuk rekod Norhizam memenangi kerusi Pengkalan Batu atas tiket DAP dan membentuk kerajaan PH selepas PRU ke-14 pada 2018.

Bagaimanapun dia kemudian berpaling tadah bersama beberapa Adun lain untuk memberikan sokongan kepada BN-PN kemudiannya.

Kata Norhizam tidak ada masalah untuk dia berkhidmat kepada orang ramai walaupun bertanding sebagai calon bebas.

"Di Melaka ada berapa wakil rakyat? Dua puluh lapan... tapi yang boleh buat kerja berapa orang?" katanya.

"Saya minta rakyat buka mata dan nilai sendiri, logo dan parti bukan jalan penyelesaian," katanya.

Dia juga mendakwa sebagai orang yang merendah diri dan boleh ditemui dengan mudah di tepi jalan.

"Saya tak ada protokol, humble (merendah diri), saya boleh jumpa di tepi jalan," katanya.

Norhizam juga mendakwa ada orang yang menangis ketika dia melawat kawasan mereka selepas tiada mana-mana pihak tampil menolong.

Dia juga mendakwa sudah dapat menyelesaikan 70 peratus daripada masalah yang diadukan kepadanya.

9.40 pagi, PPC Bemban: Setakat ini sekurang-kurangnya lima calon akan menyertai PRN bagi kerusi Bemban.

Calon yang bersedia menyerahkan borang masing-masing setakat ini ialah:

  • Koh Chin Han (MCA-BN)
  • Tey Kok Kiew (DAP-PH)
  • Mohd Yadzil Yaakub (Bersatu-PN)
  • Ng Choon Koon (bebas, bekas ahli MCA)
  • Azmi Kamis (bebas, bekas ahli PKR)

Menurut Azmi dia menyertai PRN ini sebagai calon bebas selepas "dibuang" PKR. Untuk rekod sebelum ini dia sudah menyertai PRN 2004 untuk merebut kerusi Asahan dan dicalonkan pula untuk Rim pada 2008 dan 2013.

Bagaimanapun Azmi tidak pernah memenangi sebarang kerusi setakat ini.

9.20 pagi, PPC Tanjung Bidara: Bekas perdana menteri Najib Razak menegaskan calon BN di situ, Ab Rauf Yusof, bukanlah nama yang akan dicadangkan menjadi ketua menteri jika mereka memenangi PRN ini.

"Tak, tak, tak... kita (BN) dan tentukan Sulaiman (sebagai ketua menteri)," katanya merujuk kepada bekas Adun Lendu Sulaiman Md Ali.

Sulaiman merupakan ketua menteri BN-PN selepas kerajaan PH dijatuhkan pada tahun lalu.

Bagaimanapun ada pihak mendakwa sebenarnya Ab Rauf - yang juga pengerusi Umno Melaka - ada di belakang Sulaiman dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Terdahulu ketika ditanya mengenai calon ketua menteri, Ab Rauf berkata, hal itu ditentukan oleh partinya.

9.15 pagi, PPC Pengkalan Batu: Bekas Adun DAP yang pernah berkhidmat sebagai exco di bawah dua kerajaan berbeza, Norhizam Hassan Baktee tiba untuk menyerahkan borang pencalonannya.

Dia memakai kemeja merah dan sempat bersalaman dengan anggota polis yang bertugas serta mengucapkan terima kasih kerana menjaga keselamatan di situ.

Dalam PRU pada 2018 lalu dia memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh 51.47 peratus undi.

9.10 pagi, PPC Tanjung Bidara: Sepasukan anggota polis mengarahkan penyokong BN yang berkumpul di luar kawasan penamaan agar bersurai.

Penamaan calon bagi DUN Tanjung Bidara diadakan di dalam Dewan Datuk Kapt (B) Hj Ab Karim.

SPR memang melarang sebarang perhimpunan sepanjang tempoh penamaan sehingga proses PRN Melaka berakhir.

9.05 pagi, PPC Tanjung Bidara: Calon BN Ab RAuf Yusoh memberitahu penyertaannya dalam PRN kali ini adalah demi memperjuangkan maruah Umno.

Ditanya mengenai cabarannya berdepan dengan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin yang mewakili Bersatu/PN, Ab Rauf berkata, dia bukan menentang timbalan menteri berkenaan.

"Saya bukan melawan Mas Ermieyati (tetapi) saya membawa sebuah perjuangan dan menebus maruah orang Umno Tanjung Bidara," katanya.

Mas Ermieyati

Untuk rekod asalnya Mas Ermieyati merupakan ahli Umno yang diturunkan sebagai calon BN di Masjid Tanah dalam PRU ke-14 lalu namun dia menyertai Bersatu selepas PH menjadi kerajaan.

9.15 pagi, PPC Asahan: Seorang lagi calon bebas Mohd Nor Salleh.

Setakat masa ini sudah ada lima calon hadir di PPC Asahan. Selain calon PH, BN dan PN, persaingan kerusi ini turut disertai dua calon bebas.

9 pagi, PPC Asahan: Calon PN dari Gerakan, Dhanesh Basil, tiba di pusat penamaan calon.

Dia berkata amat yakin dapat memenangi kerusi Asahan meskipun kawasan tersebut merupakan satu daripada kerusi panas di Melaka kerana turut ditandingi bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron.

Calon PN, Danesh Basil

"Saya akan buat yang terbaik dan akan bawa yang terbaik berdasarkan apa yang dibincangkan dalam PN sebelum ini," katanya.

Beberapa minit kemudian calon bebas, Azmar Abd Hamid, pula tiba dengan memandu sendiri keretanya.

8.55 pagi, PPC Asahan: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan hadir untuk melihat dari dekat suasana penamaan calon. Dia datang menaiki kenderaan polis.

Sebelum ini PDRM berkata pasukan itu akan menjalankan rondaan setiap dari semasa ke semasa di kawasan-kawasan panas seluruh Melaka sepanjang tempoh PRN berlangsung. 

8.50 pagi PPC, Pengkalan Batu: Muhammad Danish Zainudin bersedia untuk memasuki kawasan pusat penamaan di Dewan Berstari Ayer Keroh. Dia dicalonkan oleh DAP bagi mewakili PH.

Muhammad Danish merupakan Melayu tunggal dicalonkan oleh DAP.

Dia dijangka berdepan cabaran getir untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi DAP itu pada 2018 melalui Norhizam Hassan Baktee.

Norhizam dijangka turut menyertai PRN kali ini sebagai calon bebas.

8.45 pagi, PPC Tanjung Bidara: Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh tiba bersama kira-kira 20 orang penyokong. Antara mereka ialah bekas perdana menteri Najib Razak.

Ab Rauf berbaju Melayu biru gelap.

Untuk rekod SPR melarang sebarang perhimpunan sepanjang tempoh PRN Melaka ini.

Tidak lama kemudian calon Bersatu yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin. Dia merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

8.40 pagi, PPC Bemban: Bekas Adun Bemban, Ng Choon Koon, membuat kemunculan mengejut di Dewan Tok Senara, Pejabat Daerah dan Tanah Jasin.

Ng merupakan Adun Bemban antara 2008 hingga 2013. Kali ini dia bertanding sebagai calon bebas dan bakal berdepan dengan calon MCA yang mewakili BN, Koh Chin Han pada PRU ke-13 (2013).

Koh kalah dalam PRU berkenaan.

Berdasarkan pengumuman sebelum ini, PH akan diwakili calon DAP, Tey Kok Kiew, manakala PN mempertaruhkan wakil Bersatu, Mohd Yadzil Yaakub.

Koh Chin Han

Mohd Yadzil Yaakub

8.33 pagi, PPC Asahan: Bekas ketua menteri Idris Haron tiba di pusat penamaan di Kolej Komuniti Selandar berjalan dengan berbaju Melayu berwarna oren.

Dia kemudian menaiki kereta Proton Perdana hitam selepas mendaftar MySejahtera dan memeriksa suhu.

Ketika berjalan ke arah keretanya dia hanya berkata: "Terserah kepada Allah." 

Idris akan bertanding atas tiket PH di kawasan yang menjadi tempat kelahirannya ini.

Tidak lama kemudian calon BN, Fairul Nizam Roslan, pula tiba di pusat penamaan calon menaiki kereta Honda CRV putih dan memasuki kawasan PPC tanpa memberhentikan kereta yang dinaikinya.

Fairul merupakan Ketua Pemuda Umno Melaka dan antara muka baru yang diperkenalkan oleh BN kali ini.

8.30 pagi, PPC Tanjung Bidara: Calon PH Zainal Hassan dari PKR tiba. Sejurus kemudian dia dibenarkan memasuki kawasan pusat penamaan calon dan dibenarkan menunggu di situ untuk menyerahkan borangnya pada jam 9 pagi.

Proses penamaan calon dijalankan di Dewan Datuk Kapt (B) Hj Ab Karim.

Jika proses penamaan calon berjalan seperti dirancang, Zainal akan berdepan dengan dua tokoh berpengalaman, iaitu Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin.

DUN ini terletak di bawah kawasan parlimen Masjid Tanah. Mas Ermieyati merupakan ahli parlimen kawasan berkenaan. 

Tanjung Bidara merupakan kubu kuat Umno. Pada PRU lalu Umno memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh 58.15 peratus undi berbanding 23.92 peratus PKR. PAS pula hanya mendapat 17.94 peratus undi.

8.10 pagi, PPCAsahan: Seorang bekas tentera, Mohd Akhir Ayob, 50, menjadi calon terawal tiba untuk kerusi ini.

Dengan berbaju Melayu putih, dia bercadang untuk menjadi calon bebas. Mohd Akhir tiba di Kolej Komuniti Selandar menaiki Perodua Aruz.

8 pagi: Pusat penamaan calon sedia untuk dibuka. SPR akan mengendalikan proses ini sehingga tempohnya berakhir pada jam 10 pagi nanti.

SPR kemudian akan mengumumkan senarai calon secara rasmi selepas itu.

Bagaimanapun tidak seperti selalu penamaan calon kali ini tidak semeriah dulu apabila pihak berkuasa menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penyularan Covid-19.

PRN ini diadakan selepas sekumpulan empat Adun - termasuk seorang bekas ketua menteri - menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan BN-Perikatan Nasional (PN) pada 4 Okt lalu.

Bagaimanapun usaha menukar kerajaan tanpa melibatkan pilihan raya seperti yang dilakukan BN-PN sebelum ini gagal apabila Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan pada hari sama.

Ia diumumkan speaker Ab Rauf Yusoh yang juga pengerusi Umno Melaka.

[Laporan lanjut menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS