Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin akar umbi PKR Machap Jaya mahu Ginie Lim terus bertanding
Diterbitkan:  Nov 7, 2021 7:08 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Akar umbi PKR di Machap Jaya menggesa kepimpinan parti mereka untuk menarik balik keputusan menggugurkan penyandang Ginie Lim sebagai calon di kawasan itu.

"Bahawasanya kami, ketua-ketua ranting di dalam DUN Machap Jaya dengan ini menolak pencalonan Lau Beng Hau sebagai calon pilihan raya N.08 Machap Jaya.

"Kami menolak pencalonan Lau kerana beliau bukanlah seorang calon yang berpotensi untuk menang dan tidak diterima kehadirannya di DUN Machap Jaya.

"Dia tidak mempunyai sokongan dan jentera untuk berdepan dengan calon-calon pihak lawan serta kehadiran beliau ke DUN Machap Jaya hanyalah untuk memecah belahkan sokongan dan kerjasama kami dengan mantan Adun Ginie Lim Siew Lin," kata kesemua lapan ketua ranting dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas mesyuarat pemimpin akar umbi Machap Jaya malam tadi.

Lim sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilihat tidak disenangi pimpinan pusat PKR.

Lim dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia) pada 2019 menyebabkan pencalonan Ketua PKR Melaka Halim Bachik sebagai senator ke Dewan Negara gagal.

Setiap negeri boleh mencalonkan dua senator ke Dewan Negara, yang mesti mereka undi di DUN masing-masing.

Sebelum pengundian berlangsung di DUN Melaka, Lim dan Jailani meninggalkan Dewan, menyebabkan PH gagal mendapat majoriti untuk meluluskan pencalonan itu.

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan langkah itu sebagai "tidak boleh diterima" dan memanggil mereka untuk berbincang.

Jailani kemudiannya membantu menjatuhkan kerajaan PH untuk membentuk pentadbiran baru Umno-Bersatu.

Dia akan dipertaruhkan di DUN Rembia oleh Umno, setelah memenangi kerusi itu di bawah PKR sebelum ini.

Lim tetap dengan PH tetapi diketepikan dalam pencalonan.

Walaupun terdapat kontroversi, Lim mempunyai sokongan akar umbi di Machap Jaya.

Dia pertama kali bertanding di kerusi itu pada 2008 dan walaupun kalah dengan majoriti 1,639 undi, dia terus berusaha.

Pada 2013, dia bertanding semula di kerusi itu tetapi kalah dengan majoriti 152 undi.

Dia menang pada percubaan ketiganya pada 2018, memperoleh majoriti 1,336 undi.

Ketua-ketua ranting PKR Machap Jaya berkata mereka kecewa kerana kepimpinan pusat gagal mendengar suara akar umbi.

"Kami merayu kepada Anwar sebagai presiden PKR dan Pengerusi Majlis Presiden PH agar mempertimbang serta memperhalusi kembali calon bagi N.08 Machap Jaya.

"Kami amat yakin sekiranya Lim dicalonkan kembali, kerusi DUN Machap Jaya dapat dikekalkan kemenangannya dan PH akan dapat membentuk kembali kerajaan negeri setelah dikhianati," katanya.

Sementara itu, Lim dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada pengundi kawasan pilihan rayanya.

“Sejak pemilihan pertama saya pada 2008 hingga sekarang, penduduk Machap telah membimbing saya, mengasuh saya dan memberi peluang kepada saya pada 2018 untuk menggalas tanggungjawab berat sebagai wakil rakyat.

"Kata-kata sahaja tidak dapat menyatakan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada pengundi saya. Rasa kasih saya kepada Melaka tidak akan luntur," katanya.

Lim menegaskan dia akan terus menyokong PH.

"Walaupun saya kesal tidak dapat bertanding kali ini, saya tetap berpegang pada prinsip saya, mereformasi sistem politik, dan meneruskan kempen untuk PH dalam PRN Melaka akan datang - api Reformasi ini tidak akan pernah padam," katanya. .

Hari penamaan calon untuk PRN Melaka adalah esok manakala hari pengundian pada 20 Nov.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS