Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Mereka bukan pengkhianat, khianat pada siapa?
Diterbitkan:  Nov 7, 2021 6:41 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa bekas Adun Umno yang melompat parti dan menyebabkan tercetusnya pilihan raya negeri Melaka bukanlah 'pengkhianat'.

Sebaliknya, katanya, mereka hanya mahu mengembalikan mandat rakyat kepada Pakatan Harapan (PH), yang telah memenangi negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

“Bila kita sebut istilah pengkhianat, khianat kepada siapa.

"Naratifnya seperti yang disebut oleh PH Melaka, Keadilan, DAP dan Amanah, empat (Adun) itu menarik sokongan untuk membolehkan parti yang mendapat mandat dalam pilihan raya lalu kembali berkuasa.

"Maknanya dia bukan khianat amanah kepada rakyat. Dia bincang bersama PH Melaka dengan sikap yang jelas untuk mengembalikan mandat yang dirampas," katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook.

Pilihan raya negeri (PRN) Melaka diadakan selepas empat Adun menarik balik sokongan mereka kepada ketua menteri sebelum ini, Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas ketua menteri, Idris Haron (Umno-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

PH enggan menerima Norhizam kerana keluar daripada DAP tahun lepas, yang menyebabkan kerajaan Melaka pimpinan PH ketika itu tumbang.

Anwar berkata, Majlis Presiden PH membuat keputusan agar Idris bertanding di bawah tiket PKR manakala Nor Azman akan bertanding di bawah tiket Amanah.

“Itu kerana pengalaman mereka, kesetiaan mereka kepada perjuangan dan sikap rakyat di bawah,” katanya.

Walaupun ada pemimpin PKR yang layak diletakkan sebagai calon, Anwar berkata dia mengambil kira "pengorbanan" kedua-duanya, "kesediaan untuk bersama" PH dan sikap konsisten mereka selepas menarik balik sokongan terhadap Sulaiman .

Presiden PKR itu bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai status Adun Bersatu, Noor Effandi.

Anwar juga menyatakan bahawa DUN Melaka telah pun dibubarkan dan oleh itu isu lompat parti tidak timbul.

Katanya, dia juga pada awalnya mempunyai keraguan untuk menerima kedua-dua bekas Adun Umno itu sebelum akhirnya bersetuju menerima mereka.

Katanya, DAP lebih tegas dalam hal itu kerana tidak meyakini penyertaan mereka.

Bagaimanapun katanya, selepas dipanggil oleh presiden Umno, Idris menyatakan sikap untuk tidak boleh menerima 'penyelewengan dan rasuah' dalam parti berkenaan.

"Itu bagi kawan-kawan kita dalam PH lebih meyakinkan,” jelas Anwar.

Sementara itu, sumber parti memberitahu Malaysiakini bahawa sesi taklimat PKR di Seremban, Negeri Sembilan hari ini tidak membincangkan mengenai isu Idris.

“Kami tidak dapat mengadakan taklimat di Melaka kerana SOP (Prosedur operasi standard) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jadi kami adakannya di Negeri Sembilan.

"Kami juga tidak membincangkan tentang Idris," kata sumber yang menghadiri taklimat itu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pertemuan itu berlangsung hari ini.

Dia berkata, pertemuan itu bagi memberi taklimat kepada jentera mengenai gerak kerja semasa PRN serta SOP sepanjang pilihan raya berlangsung.

Tarikh mengundi bagi PRN Melaka ditetapkan pada 20 Nov manakala hari penamaan calon ditetapkan pada esok (8 Nov).


Laporan tambahan oleh B Nantha Kumar


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS