Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

PULASAN | Ia bermula dengan gerakan yang tidak menonjol seperti selalu.

PAS sebagai sebuah parti politik ialah PAS yang ranggi dan penuh bersemangat. Tetapi di sebalik adanya pemilihan pada kali ini muktamar yang berlangsung hampir-hampir tidak disedari oleh ramai orang kecuali ahli parti itu sendiri.

Pemilihan Dewan Ulama PAS Pusat juga tidak berlangsung atas sebab mesyuarat agung tahunan badan itu gagal diselesaikan sepenuhnya seperti yang sepatutnya.

Menurut Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, hanya lima negeri yang selesai mengadakan mesyuarat tahunan sebelum mereka berkumpul untuk muktamar tahunan beberapa hari lalu.

Tetapi itu bukanlah tumpuan yang paling menarik.

Ketika jawatan presiden PAS biasanya akan kekal selamat tanpa dicabar, akhir-akhir ini keselesaan sama juga dapat dilihat pada penyandang jawatan timbalan presiden.

Justeru persaingan untuk jawatan naib presiden dan ahli jawatankuasa pusatlah yang paling menarik perhatian ramai.

Maka persaingan di antara tiga penyandang jawatan naib presiden dan kemunculan tokoh baru sudah tentu menarik minat. Orang yang menawarkan diri bertanding itu pula bukanlah calang-calang.

Dapat undi tertinggi

Dia dikenali sebagai antara cendekiawan PAS yang sebelum ini berperanan di belakang tabir. Selepas ada ahli parlimennya menjadi anggota kabinet Mohd Zuhdi Marsuki pun dibawa menyertai kerajaan.

Mohd Zuhdi ialah setiausaha politik Tuan Ibrahim Tuan Man. Ahli parlimen Kubang Krian itu merupakan menteri alam sekitar dan air, serta timbalan presiden PAS.

Ia kira-kira mengulangi langkah Ahmad Samsuri Mokhtar yang menapak naik dalam hierarki PAS ketika dia menjadi setiausaha politik Abdul Hadi Awang.

Namun perwakilan memilih untuk mengekalkan status quo. Mohd Zuhdi ketinggalan 155 undi di belakang Ahmad Samsuri. Dan Ahmad Samsuri pula berada 386 undi di bawah Idris Ahmad yang mendapat sokongan tertinggi.

Seorang lagi naib presiden yang mengekalkan jawatan mereka ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah. Dia juga seorang pemimpin yang berpotensi untuk melangkah lebih tinggi dalam PAS.

Cuma mungkin kedudukan Mohd Amar yang berpangkalan di Kelantan sedikit menyukarkan dia mendapat lebih banyak sokongan berbanding Idris yang kini diletakkan di Jabatan Perdana Menteri.

Keputusan di peringkat jawatankuasa pusat pula lebih menarik, berwarna-warni dan 'mendebarkan' apabila ada beberapa nama besar didapati tercicir. Paling ketara ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali, serta Nik Mohamad Abduh (Bachok) yang pernah mendapat undian tertinggi untuk jawatan berkenaan.

Ada pihak yang nakal mencuit bahawa Khairuddin yang juga bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu kecundang di gelanggang sendiri. Ia merujuk kepada lokasi muktamar kali ini yang diadakan di Kuala Nerus.

Teringat audio 'ana tahu'

Namun lebih mendebarkan ialah bagaimana kedudukan Khairuddin itu mungkin berkait rapat dengan beberapa isu yang membayanginya. Misalnya sebaran audio yang didakwa  suara setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu sedang 'membawang' mengenai sikap Abdul Hadi.

Orang itu didakwa cuba mengatur gerakan tertentu dalam PAS sehingga dikaitkan dengan pertemuan dengan beberapa tokoh lain termasuk Hashim sendiri.

Ulama yang digelar at-Takiri itu jugalah yang menimbulkan kemarahan orang ramai apabila gagal melakukan kuarantin selepas pulang dari Turki. Khabarnya atas urusan rasmi.

Kemudian nama Khairuddin juga muncul dalam isu sekatan jalan raya di Perasing, Kemaman pada Mei lalu.

Namun lama sebelum itu nama Khairuddin sudah agak sinonim dengan sebaran rakaman audio. Masih ingat isu "ana tahu?" sebelum PRU ke-14 lalu? Dan bersama Khairuddin, nama yang paling banyak disebut-sebut ialah Nik Mohamad Abduh sendiri.

Masih ingat bagaimana para pemimpin PAS bersilat untuk menepis serangan yang disasarkan kepada mereka dalam isu "ana tahu" dulu?

Mereka memang dilihat satu kumpulan dalam mengemudi PAS.

Seorang lagi tokoh PAS yang dilihat dihanyutkan arus semasa ialah pemimpin dari Sarawak, Mokhtar Suhaili, yang dibawa Khairuddin mengetuai Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) selepas dia dilantik menjadi menteri.

Turut mengejutkan ialah gagalnya Mokhtar Senik mempertahankan kedudukan yang disandangnya sebelum ini. Ia berlaku ketika ulama dari Pahang yang sejarah perjuangannya - dari utara ke selatan; dari timur ke barat - penuh warna-warni dan begitu dikenali ramai.

Dia bukan sembarangan ulama. Mokhtar dikenali sebagai tokoh yang bersemangat waja serta garang memperjuangkan apa yang diyakininya. Tidak dapat dipastikan dengan jelas sama ada dia boleh dianggap berada dalam kumpulan Khairuddin atau tidak.

Cuma yang pasti Mokhtar itu selalu berpencak di media sosial dengan pelbagai lontaran idea yang menarik.

Sementara itu bekas exco kanan dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Iskandar Abdul Samad, kembali berada dalam jawatankuasa pusat selepas sepenggal diamanahkan menjaga hal ehwal kewangan parti.

Pada pemilihan sebelum ini Iskandar tidak menyertai persaingan untuk mendapatkan jawatan naib presiden dan dia dilantik menjadi bendahari agung menggantikan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Namun sejak itu Iskandar kelihatan kurang menonjol. Mungkin tugas sebagai bendahari agung tidak cukup menyibukkan untuk bekas Adun Cempaka itu sehingga dilihat lebih banyak menghabiskan masanya mengulas hal ehwal bola sepak.

Berapa ramai nakhoda parti

Justeru sampai masanya untuk PAS memberikan tanggungjawab lebih besar dan mencabar untuk Iskandar. Biarkan orang lain mengulas mengenai perkembangan dunia bola sepak.

Satu lagi perkara yang juga menarik ialah mengenai penegasan secara tekal para pemimpin atasan PAS mengenai pentingnya ahli menggenggam setiap arahan yang diberi.

Pada masa sama jangan banyak bertanya akan justifikasi atas keputusan yang dibuat pemimpin.

PAS memang terkenal dengan doktrin walaknya. Namun apabila ia penekanannya diulang-ulang, sudah tentu ada yang belum tuntas di dalam parti berkenaan. Ia sudah tentu sesuatu yang mencabar sehingga dibangkitkan dari semasa ke semasa.

Ia mungkin ada kaitan dengan teguran Ketua Pemuda PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari kepada pihak tertentu yang "ramai nak bercakap" mengenai perjalanan parti berkenaan.

"Tidak perlu ramai yang nak bercakap tentang hala tuju, orang itu nak tulis orang ini nak tulis, orang itu nak berbicara orang ini nak berbicara.

"Berapa ramai nahkoda dalam parti ini?" kata anggota Parlimen Pasir Mas itu. 

Walaupun secara berkias, orang ramai faham ada yang sedang berombak di dalam PAS. Namun PAS sebagai sebuah parti politik bertindak seperti sepatutnya. Ia didiamkan seboleh mungkin dan selagi boleh. Sesekali mereka berkias dan bermadah.

Sesuailah dengan PAS sebagai sebuah parti Melayu. Dan sesuai juga dengan sifat PAS sebagai sebuah parti politik yang sama saja dengan parti-parti lain.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini dan peminat PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS