Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS beri amaran kepada pemimpin suka bercakap

MUKTAMAR PAS | Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari dengan lantang memberi peringatan kepada sikap sesetengah pemimpin PAS yang suka berbicara soal hala tuju parti itu.

Menurutnya, sekarang bukanlah masa untuk berteka-teka tentang hala tuju parti.

"Ada perwakilan yang menyebut bagaimana dengan hala tuju kita dalam pilihan raya umum akan datang.

"Pemuda PAS ingin menjelaskan kepada semua yang ada, kami sentiasa berdiri teguh dengan keputusan dan pendirian yang diambil presiden yang mewakili institusi presiden.

"Ini bukan masa untuk berteka-teka tentang hala tuju. Kita mempunyai nahkoda yang jelas, kita berada dalam pelayaran bukan pelayaran yang tenang tetapi lautan yang penuh gelombang," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ni.

Sehubungan itu tegasnya, semua pihak perlu memberi mandat kepada presiden untuk menentukan hala tuju parti yang membawa nama institusi presiden.

"Tidak perlu ramai yang nak bercakap tentang hala tuju, orang itu nak tulis orang ini nak tulis, orang itu nak berbicara orang ini nak berbicara.

"Berapa ramai nahkoda dalam parti ini? Ini isunya, Pemuda bukan nak mengkudus, memaksumkan mana-mana institusi tapi dalam hal kita berlayar di atas lautan yang sedang bergelombang bagi kepercayaan kepada satu nakhoda untuk mengemudi, kerana beliau boleh nampak boleh tahu di mana ikan jerung dan di mana taufan," kata anggota Parlimen Pasir Mas itu.

Tambah Ahmad Fadhli, jika semua orang (pemimpin) mahu menjadi jururunding kepada parti, dia bimbang akan ada perunding-perunding yang akan menjual nama parti untuk kepentingan peribadi.

"Saya yakin bagi mandat kepada majlis syura, bagi mandat kepada jawatankuasa PAS Pusat, Insya-Allah kita di bawah dan Pemuda bersedia menjadi galang ganti bertempur darah di medan perjuangan.

"Inilah kesetiaan kepada parti, soal menang kalah kita serah kepada Allah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS