Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bergerak solo tak rosakkan hubungan Umno dengan Bersatu, PAS'
Diterbitkan:  Nov 6, 2021 8:46 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

PRN MELAKA | Walaupun dijangka bertembung sesama sendiri bagi mendapatkan kerusi di Melaka tidak lama lagi, Umno yakin ia tidak akan menjejaskan hubungan mereka dengan Bersatu dan PAS di peringkat pusat.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berkata di peringkat persekutuan wujud persefahaman yang mengingat ketiga-tiga parti terbabit untuk kekal dengan hubungan yang ada.

"Kita ada persefahaman di peringkat persekutuan.

"Walaupun Umno bertanding secara solo di Melaka, di peringkat persekutuan kami masih memiliki hubungan atas nama kerajaan Keluarga Malaysia," katanya di Kuala Nerang, Kedah hari ini.

Terdahulu ahli parlimen Padang Terap itu menghadiri majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat Kedah di Dewan Kolej Mara Kuala Nerang.

Tambah Mahdzir jika ada menteri berkunjung ke Melaka untuk berkempen, ia bukan sebagai anggota kabinet, sebaliknya atas kapasiti pemimpin politik yang partinya terbabit dalam pilihan raya.

Katanya langkah itu diputuskan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mahu tiada progam berkaitan kementerian dibawa ke Melaka sempena PRN yang akan berlangsung pada 20 Nov ini.

Menurut Mahdzir lagi sehingga kini hubungan antara ahli parlimen dari ketiga-tiga parti juga kelihatan tidak mempunyai masalah.

"Dalam mesyuarat kabinet pada Rabu lepas pun, semua yang terlibat membuat keputusan secara bersama," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS