Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda putuskan tak bersama PH dalam PRN Melaka
Diterbitkan:  Nov 6, 2021 5:54 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

PRN MELAKA | Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) mengambil pendirian untuk tidak bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka yang berlangsung 20 November ini.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ketetapan itu dibuat ekoran tindakan PH yang menurutnya mengangkat politik tidak bermaruah dan tidak berprinsip apabila menjadikan "katak politik" sebagai calon mereka.

"Sejak minggu lepas Muda telah berunding dengan PH dan ada beberapa signal positif yang menunjukkan boleh ada pembangkang yang berpadu.

"Cuma akhirnya dan malangnya pimpinan PH mengambil pendirian untuk memilih dan mencalonkan katak-katak politik yang menyebabkan jatuhnya kerajaan Melaka dan PRN di tengah pandemik

"Disebabkan itu Muda telah buat keputusan untuk tidak bersama dengan PH dalam PRN Melaka kerana mengangkat politik tidak bermaruah, tidak berprinsip dan mengangkat katak-katak politik ini," katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

Pada27 Oktober lalu, Muda mengumumkan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan dalam proses rundingan pengagihan kerusi dengan blok pembangkang.

Bagaimanapun, PKR dan Amanah hari ini memutuskan menerima dua bekas Adun Umno Melaka yang membatalkan sokongan terhadap kerajaan negeri sebelum ini, iaitu Idris Haron dan Nor Azman Hassan sebagai calon gabungan itu.

Idris Haron dan Nor Azman Hassan

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata pihaknya kesal dengan pendirian pimpinan PH yang memberikan keutamaan untuk mengangkat Idris dan Nor Azman daripada berunding bersama pembangkang lain.

Malah, ahli parlimen Muar itu berkata dia tidak menjangka PH akan memberi keutamaan kepada bekas pemimpin Umno itu.

"Sejujurnya kita tidak jangkakan keutamaan diberikan kepada katak-katak ini kerana kalau kita lihat mereka melompat bukan kerana nilai atau dasar tetapi kerana politik kuasa," katanya, sambil mendakwa mereka menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri sebelum ini dengan tawaran jawatan ketua menteri.

"Adakah kepastian mereka tidak akan melompat lagi selepas pilihan raya negeri ini?" soalnya lagi.

'Bagaimana dengan akta antilompat parti?'

Oleh itu, Syed Saddiq mengingatkan pimpinan PH agar tidak terus terus menjadi mangsa.

"Jangan bila sekali kita dah ditikam, kita mahu ditikam berkali-kali," katanya.

Tambah Syed Saddiq, disebabkan itu juga Muda mengambil pendirian berkecuali dalam PRN Melaka.

"Muda mahu meberi fokus untuk PRU15, selain menumpukan politik khidmat dan juga politik dasar," katanya lagi.

Sementara itu, dia turut menyatakan kebimbangannya berhubung usaha penggubalan rang undang-undang antilompat parti ekoran tindakan kepimpinan PH itu.

"Jikalau hari ini kita membudayakan politik katak sebegini bagaimana di dalam Parlimen nanti kita mahu memperjuangkan politik nilai, politik prinsip?

"Kita ingin pastikan bahawa kita dapat bersama menggubal akta lompat parti tetapi kita sendiri telah membenarkan politik katak di Melaka.

"Bagaimana rakyat mengambil perkara ini secara serius ini jika kita sendiri lakukannya," soalnya.

Pada 4 Oktober lalu, empat Adun yang diketuai oleh Adun Umno Sungai Udang, Idris Haron mengumumkan keputusan mereka untuk menarik balik sokongan kepada Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri.

Selain idris dan Nor Azman, dua lagi yang berbuat demikian adalah Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Ia menyebabka Sulaiman kehilangan majoriti dan membuat keputusan untuk membubarkan DUN, membuka jalan untuk pilihan raya negeri pada 20 November ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS