DAP Sarawak tidak melihat kemungkinan untuk mereka bekerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang ketika kedua-duanya merupakan pembangkang.
Ketetapan itu dibuat ekoran penaja PSB yang didakwa DAP sebagai “mencurigakan” selain persamaan yang dimiliki parti itu jika dibandingkan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah sebelum ini.
Dalam sidang media yang disiarkan secara dalam talian hari ini, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen bahkan menggelar PSB sebagai satu “tunas susur” (offshoot) kepada GPS.
“Operasi mereka, ideologi mereka dan modus operasi mereka lebih kurang sama dengan GPS. Ia lebih kurang, tunas susur kepada GPS [...]
“Oleh sebab itu, saya rasa agak susah untuk kami bekerjasama dengan PSB. (Tetapi) Sudah tentu, dalam politik, benda mustahil pun kadang-kadang boleh terjadi.
“Tetapi buat masa sekarang, agak mustahil memandangkan penaja yang mencurigakan. Malah, penaja mereka pun secara dasarnya sama dengan penaja GPS [...] semasa zaman BN,” katanya lagi.
Dia berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada DAP akan bekerjasama dengan PSB dalam PRN Sarawak yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Kita mungkin harus lawan kedua-duanya - GPS dan PSB,” katanya.