Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Isu sentuh sensiviti umat Islam diurus dengan baik kerana PAS dalam k'jaan'

MUKTAMAR PAS | Beberapa langkah kerajaan pusat yang menyentuh sensitiviti umat Islam berjaya ditangani dengan baik ekoran ketegasan PAS yang menjadi sebahagian daripada kerajaan, kata Takiyuddin Hassan.

Setiausaha agung PAS itu berkata, itulah antara manfaat besar apabila parti itu berada dalam kerajaan dan ia perlu dipertahankan.

“Kita juga menyaksikan beberapa tindakan kerajaan pusat yang pada awalnya menyentuh sensitiviti umat Islam telah berjaya ditangani dengan baik disebabkan oleh pegangan serta ketegasan PAS sebagai sebahagian daripada komponen parti yang memerintah.

“Ini membuktikan besarnya manfaat PAS berada dalam pemerintahan persekutuan demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat terbanyak.

“Justeru itu, kemenangan yang kita sedang uruskan sekarang ini wajib dipertahan dan diisi sebaik-baiknya supaya adil di sisi Allah dan juga di sisi rakyat keseluruhannya,” katanya ketika berucap dalam Muktamar PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.

Takiyuddin yang merupakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu bagaimanapun tidak menyebut isu-isu sensitif yang diperkatakannya itu.

Namun, baru-baru ini, isu arak jenama Timah mengundang kontroversi berhubung nama dan labelnya yang didakwa menghina Islam.

Susulan itu, pengeluar wiski berkenaan bahawa kedua-dua aspek itu tiada kaitan dengan Islam, sebaliknya ia merujuk kepada bijih timah yang banyak di Malaysia suatu ketika dahulu, manakala imej pada labelnya pula ialah Kapten Speedy, dikatakan sebagai individu yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British.

Bagaimanapun, sejumlah pihak, antaranya Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, tetap meminta agar nama dan label minuman itu disemak semula.

Akhirnya pengeluar wiski itu bersetuju untuk mempertimbangkan merombak imejnya selepas rundingan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

Isu cabutan khas judi yang dinaikkan dari lapan menjadi 22 kali turut menjadi antara isu mutakhir yang mengundang perdebatan umum.

Cabutan itu sebelum ini telah dikurangkan dari 22 kepada 11 pada tahun 2019, dan dikurangkan lagi menjadi lapan pada 2020 semasa era PH, namun dinaikkan semula menjadi 22 pada era PN.

Ia dipertikaikan banyak pihak, termasuk wakil rakyat PAS di Parlimen.

Takiyuddin berkata lagi, keberadaan PAS dalam kerajaan persekutuan juga memastikan negeri-negeri ditadbir parti itu, yang menurutnya sebelum ini terpinggir kerana perbezaan politik, mula menikmati kemajuan berskala besar.

Untuk rekod, PAS mentadbir Kelantan, Kedah dan Terengganu.

“Kerajaan persekutuan yang bertunjangkan kekuatan Melayu-Islam ini telah membuka ruang kepada PAS mengisinya dengan agenda yang selama ini hanya terhad diutarakan melalui usrah, ceramah, kuliah dan program-program dalaman parti,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS