MUKTAMAR PAS | Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberi peringatan betapa pentingnya peranan parti itu dalam usaha menyatukan parti-parti orang Melayu dan Islam dalam negara.
Menurutnya, dalam usaha menyatukan orang Islam untuk berpegang kepada ajaran agama yang sebenar, pastinya ada kelompok dalam umat Islam yang melampaui batas dan suka bertelagah.
"Surah al-Hujurat telah memberikan petunjuk supaya kita berusaha memperbaik hubungan antara umat Islam yang bertelagah, namun jika masih ada suatu pihak yang melampau,
maka dibolehkan kita bertindak sekadar yang diperlukan supaya dapat diajak kembali kepada ajaran Islam dan memperkukuh persaudaraan Islam yang telah terbina.
"Justeru, PAS mesti mempelajari pengalamannya yang lalu bagi menyatukan parti-parti Melayu Islam sebagai teras politik negara, termasuklah menyelamatkan Umno yang cedera parah dalam PRU14 dan Bersatu yang baru ditubuhkan oleh asal-usul Umno yang berpecah.
"Kedua-dua parti ini telah berjaya ditemukan semula oleh PAS melalui wadah penyatuan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dengan peranan PAS sebagai pendamai," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.
Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang berkata, usaha penyatuan ummah tidak mudah kerana memerlukan kesungguhan dan jiwa besar, saling bertoleransi dan bersabar demi mencapai kejayaan yang diinginkan.
Namun, katanya, mereka wajib menghadapi PRU15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini.
"Jangan wujud sebarang perpecahan kerana sikap tamak, mementingkan diri atau dendam kesumat sehingga keputusan PRU14 berulang lagi.
"Kita menerima realiti masyarakat majmuk di Malaysia yang mewajibkan mesej Islam dibuktikan semula kejayaannya. Oleh itu, PAS yang ditubuhkan para pemimpin terdahulu bertujuan bagi menyambung perjuangan tersebut," katanya.
Tegasnya lagi, PAS menolak sebarang usaha untuk membentuk penjajaran baru dengan pelbagai jenama atau perubahan yang dicadangkan.
Katanya, PAS menubuhkan MN mengikut acuan asal yang lengkap sebagai pendahuluan mengikut piagam yang terbuka, bukannya tertutup.
"Dalam pada itu, kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat, sehingga berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur.
"Maka, sebarang cadangan lain laksana tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan.
"PAS jangan dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup dalam lingkungan sekadar menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air. Sebaliknya, menjadi pemimpin bersama rakan-rakan sehingga berjaya menarik sokongan rakyat bagi menyelamatkan negara bersama Islam yang diperkenalkan oleh PAS," ujar Abdul Hadi lagi.